IDRIS Khan. FOTO Arkib NSTP
IDRIS Khan. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


PELAKON Idris Khan mengakui belum memutuskan tarikh majlis pernikahan dengan kekasihnya, Sanaa Jeljalane, 27, yang dijangka berlangsung pada tahun depan.

Menurut Idris atau nama sebenarnya, Idris Khan Abdul Ghaffar Khan, 30, dia dan kekasih berasal dari Maghribi itu masih mencari tarikh sesuai untuk majlis pernikahan mereka.

“Saya tidak berani memberitahu tarikh yang dicadangkan kerana kalau tidak jadi nanti, orang akan cakap saya asyik menangguhkan majlis pernikahan.

“Maklumlah, sudah dua kali majis pernikahan kami terpaksa ditangguhkan sebelum ini.

“Apa yang boleh saya beritahu, majlis pernikahan kami bakal berlangsung pada awal tahun depan,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai majlis pernikahan, kata Idris, dia hanya merancang majlis secara kecil-kecilan untuk keluarga terdekat dan teman rapat di lokasi Kuala Lumpur.

“Saya mahukan majlis pernikahan itu dihadiri teman rapat dan mereka yang bermakna dalam hidup kami.

“Sebab itu, saya sukar untuk mendapatkan tarikh sesuai untuk majlis pernikahan kerana bukan mudah untuk mengumpulkan mereka semua dalam satu majlis,” katanya.

Ditanya hubungannya dengan Sanaa pula, kata Idris, kekasihnya itu sangat memahami dirinya yang terbabit dalam dunia glamor.

“Walaupun berjauhan, kami tetap setia dan saling mempercayai antara satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, Idris pernah memberitahu dia sepatutnya bernikah pada penghujung 2017 sebelum menundanya pada 20 Januari tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 4:58 PM