Idris bersama Sanaa. FOTO Instagram Idris Khan
Idris bersama Sanaa. FOTO Instagram Idris Khan
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular Idris Khan, 29, mengesahkan bakal bernikah dengan kekasihnya, Sanaa Jeljalane, 26, pada 20 Januari tahun depan.

Idris mengakui ubah perancangan asal untuk nikah hujung tahun ini disebabkan proses dokumentasi apabila berkahwin dengan wanita asing kerana Sanaa berasal dari Maghribi.

“Kalau nikah hujung tahun memang tak sempat kerana banyak urusan membabitkan dokumen.

“Saya tidak mahu kelam kabut, jalan terbaik kami tukar ke tahun depan. Ia lebih selamat.

“Masa sama, keluarga Sanaa membantu menyelesaikan segala urusan sebelum kembali ke sini,” katanya kepada Harian Metro.

Pelakon drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin itu berkata, awalnya mereka mahu nikah di Maghribi.

Tapi selepas memikirkan banyak perkara dan mendapat nasihat keluarga, dia mengambil keputusan untuk nikah di sini.

“Tidak mengapa prosesnya sedikit rumit, asal saja ia tidak mendatangkan masalah di kemudian hari.

“Ramai kata kalau kahwin di luar negara lebih mudah sebab hanya daftar saja perkahwinan selepas itu.

“Tapi tidak ramai yang tahu proses sedemikian lebih sukar kerana membabitkan banyak pihak. Saya pula jenis malas nak pening kepala,” katanya.

Katanya, persiapan perkahwinannya kini 70 peratus siap membabitkan busana Sanaa, dewan dan prosedur perkahwinan.

“Memandangkan keluarga Sanaa tidak besar, kami buat satu majlis saja. Tema pula menggabungkan dua budaya iaitu Melayu dan Maghribi,” katanya.

Idris juga akan menghadiahkan sebuah rumah untuk bakal isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 6:42 PM