ANTARA babak dalam teater ini.
ANTARA babak dalam teater ini.
ANTARA babak dalam teater ini.
ANTARA babak dalam teater ini.
Ridzuan Abdul Rahman


Pelajar Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan mengadakan pementasan Teater Eskapis berkonsepkan teater ‘devised’ yang diinspirasikan daripada naskhah Angin Mengambang karya Zaifri Husin dan Hamzah Tahir.

Projek produksi Teater Eskapis akan berlangsung jam 8.30 malam ini di Blackbox, ASWARA membabitkan empat pelajar yang dinilai dari aspek pengarahan.

Mereka ialah Muhammad Syafiq Ahmad Nordin, Zaim Zainal, Farah Idayu Mohd Fadzil dan Muhammad Hazmi Faiz Muhammad Khuzaini.

Empat pelajar ini akan dibantu 25 tenaga produksi terdiri daripada pelajar institusi yang sama.

Konsep ‘devised play’ adalah satu bentuk teater yang skripnya bukan ditulis seorang penulis, tetapi hasil kolaborasi sesuatu kumpulan sepanjang latihan berlangsung.

Semua pembinaan cerita dan dialog akan berlaku sewaktu latihan. Teater Eskapis ini diinspirasikan daripada naskhah Angin Mengambang dan dijadikan sebagai sebuah bentuk ‘devised play’ sebagai proses pembikinan skrip.

Pementasan berbentuk eksperimental ini akan menonjolkan kelainan kepada penonton.

Teater Eskapis menceritakan mengenai tiga detektif iaitu Nora, Malique dan Jeffri yang mendapat tugasan daripada Tuan Adam berkenaan kes pembunuhan Noah, seorang berprofil tinggi yang juga setiausaha sulit presiden.

Detektif ini menjejaki siapakah yang membunuh Noah. Mereka bersama-sama mencari petunjuk dan membuat andaian sehingga kes itu menjadi rumit dan banyak rahsia terbongkar.

Suspek awal yang didapati membunuh ialah tiga anak Noah iaitu Maria, Danial dan Eddy. Tiga detektif menceritakan semula situasi berdasarkan daripada huraian laporan fail ketiga-tiga suspek ini dan mereka mengenal pasti pembunuhnya ialah Danial yang menikam bapanya sendiri.

Danial didapati kurang siuman dan tinggal berdua dengan Noah di dalam rumah tempat pembunuhan itu berlaku.

Maria dan Eddy pula tidak berada di dalam rumah terbabit kerana lari atas sebab kepentingan masing-masing.

Kes menjadi semakin rumit apabila Tuan Adam terus mempercayai pembunuhnya ialah Malique dan bukti pembunuhan tidak jelas kerana terdapat kesan toksin di dalam badan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:02 AM