AKSI Aqasha.
AKSI Aqasha.
AMAR (duduk tengah) ketika sesi latihan teater ini.
AMAR (duduk tengah) ketika sesi latihan teater ini.
POSTER Hexa X Unus.
POSTER Hexa X Unus.

Biarpun tergolong dalam kelompok penggiat seni generasi baru, pelakon Amar Asyraf cukup meminati karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Justeru, tidak hairanlah apabila lulusan Diploma Seni Pengarahan dan Lakonan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini mengambil inspirasi karya P Ramlee sebagai persembahan teaternya.

Terbaru, pelakon yang popular menerusi drama Setia Hujung Nyawa ini akan mementaskan teater Hexa X Unus yang diilhamkan daripada sebuah filem P Ramlee.

Amar berkata, Hexa X Unus diambil dari nombor Latin yang membawa maksud enam lawan satu. Ia karya baru interpretasinya berdasarkan filem Enam Jahanam.

“Sejak dulu saya memang meminati karya P Ramlee. Sebelum ini, saya juga pernah mengadaptasi cerita Si Tora Harimau Jadian ke pentas dengan tajuk Sitora.

“Bagaimanapun jalan ceritanya sama sekali berbeza dengan filem asal. Kali ini ilham datang kerana saya ingin membuat persembahan pentas yang mempunyai banyak aksi berlawan di pentas.

“Kerana itulah, saya memilih filem Enam Jahanam kerana di dalamnya terdapat banyak aksi pertarungan. Ia amat bersesuaian dengan idea saya,” katanya.

Barisan pelakon yang terbabit dalam teater ini ialah Aqasha, Kamal Adli, Sari Yanti, Wan Raja, Jay Iswazir, Ku Hariz, Idzham Ismail dan Carliff Carleel.

Teater ini turut menampilkan sentuhan muzik kreatif oleh Noh Salleh berjudul Sang Penikam.

“Latihan dimulakan sejak hujung Mei lalu dan seluruh produksi kini amat teruja dan tak sabar membuat persembahan. Julung kalinya juga, Sari Yanti mencuba bakat dalam teater.

“Bukan itu saja, nama besar lain yang dibariskan juga pasti mampu memikat penonton untuk hadir beramai-ramai menyaksikan teater ini pada 6 Ogos ini,” jelasnya.

Teater Hexa X Unus mengisahkan mengenai pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku di Bandar Unus membabitkan ahli politik berprofil tinggi.

Seorang anggota polis yang ditugaskan untuk menyiasat kes itu menyedari ia membawa kepada pendedahan yang lebih besar lagi.

Teater karya Amar dan Aishah Hoo ini akan menemui penonton di Kuash Theater, Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada 6 hingga 9 Ogos.

Tiket dijual pada harga RM35 dan RM60 dan sebarang pertanyaan sila hubungi 012-6204045.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 10:32 AM