DEMI Lovato.
DEMI Lovato.
Georgie Joseph

Selepas berita mengejutkan Demi Lovato dimasukkan ke hospital disebabkan pengambilan dadah jenis heroin berlebihan, terbaru laporan berkenaan didakwa tidak benar.

Demi, 25, yang dimasukkan hospital kelmarin bukan mengambil heroin sebaliknya dadah jenis lain.

Menurut sumber terdekat, mereka meminta spekulasi itu dihentikan dan berharap terus mendoakan kesihatannya semakin baik.

“Demi sudah sedar di samping keluarganya dan mereka berterima kasih kepada semua yang mendoakan serta terus menyokongnya.

“Mereka juga memohon supaya diberikan ruang privasi selain menghentikan spekulasi liar terhadapnya.

“Kesihatan dan pemulihannya adalah hal yang paling penting sekarang,” kata sumber berkenaan.

Terdahulu, penyanyi Stone Cold itu ditemui tidak sedarkan diri dalam kediamannya namun belum ada pengesahan mengenai dadah jenis apa diambilnya.

Sekali gus, ia menyangkal pelbagai laporan awal yang dibuat mendakwa Demi mengambil heroin secara berlebihan.

Menurut sumber itu, ia insiden yang memberinya kesedaran terbesar apabila penyanyi itu dikatakan sangat bersyukur dia masih bernyawa.

“Insiden ini semestinya satu dugaan yang cukup besar buatnya. Demi belum bersedia untuk mati dan dia sangat bersyukur masih bernyawa.

“Dia akan meninggalkan hospital selepas ini dan terus memasuki pusat pemulihan. Anggota keluarganya berada setia di sisinya dan membantu dia daripada segala aspek,” katanya.

Pada masa sama, rakan selebriti termasuk Ruby Rose, Jonas Brothers dan Lady Gaga terus-menerus memberikan kata-kata sokongan terhadapnya.

Tidak ketinggalan, teka-teki mengenai dadah apa yang diambilnya terus diajukan di media sosial.

Bekas kekasihnya Wilmer Valderrama dalam kenyataannya sangat terkejut sebaik mendapat tahu mengenai kisah malang itu.

Kata sumber, dia tidak sangka dan sangat bersedih atas nasib Demi.

“Dia tahu Demi melalui masa yang sangat sukar namun tidak sangka bertindak sedemikian.

“Dia pernah melihat sendiri jatuh bangunnya selain menjadi sumber kekuatan Demi sewaktu berada dalam kegelapan. Jadi, untuk mengetahui Demi kembali ke aktiviti asalnya itu benar-benar menyedihkan.

“Yang pasti, dia sentiasa sayangkan Demi dan penyanyi berkenaan itu sendiri sebenarnya berharap mereka akan kembali bersama semula,” kata sumber itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 4:00 AM