TERLEBIH ambil ubat diberikan doktor, perlu masa sehingga 2 hari untuk kembali normal.
TERLEBIH ambil ubat diberikan doktor, perlu masa sehingga 2 hari untuk kembali normal.

Annyeonghaseyo!!! Berita kemasukan anggota BIGBANG iaitu T.O.P ke hospital disebabkan pengambilan dadah berlebihan sememangnya menjadi topik perbualan satu dunia sekarang.

Pelbagai spekulasi timbul dan penyanyi berbakat besar itu turut dikecam peminat. Mana tidak, ramai tidak sangka T.O.P terjebak dalam gejala dadah sedangkan dia benar-benar disanjung tinggi.

Rata-rata media di Korea Selatan saat ini mendakwa penyanyi itu berada dalam keadaan tidak sedar dan koma. Ia menjadikan situasi jadi lebih tegang dan peminat benar-benar bersedih dengan berita itu.

Namun ada perkhabaran gembira apabila sumber polis dalaman mengatakan penyanyi itu sudah sedarkan diri. Bagaimanapun, agensinya YG Entertainment tampil dengan kenyataan rasmi bahawa khabar angin itu tidak benar.

“T.O.P masih berada di wad kawalan rapi dan kami sedang menanti keputusan ujian serta pendapat daripada doktor mengenai keadaannya,” berikut kenyataan agensi itu.

Apa yang pasti, penyanyi itu tidak koma seperti didakwa ramai. Menurut jurucakap polis di sana, T.O.P tidak berada dalam keadaan kritikal.

“Dia masih berdengkur dan apabila kami kejutkan untuk bersarapan, dia membuka matanya. Namun dia kembali melelapkan mata dan sekitar tengah hari tiba-tiba dia tidak dapat dikejutkan.

“Menurut doktor, dia terlebih pengambilan terhadap ubatnya dan butiran lain hanya akan diberikan selepas dia sedar. Dia juga tidak kritikal namun kandungan ubat yang diambilnya mengambil masa satu hingga dua hari untuk keluar dari badannya,” kata polis itu.

Terdahulu, penyanyi itu didakwa atas tuduhan pengambilan dadah dan dia mengaku. Namun begitu, menurutnya dadah diambil ada preskripsi ubat normal yang memang diberikan doktor kepadanya setiap kali membuat persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 12:51 AM