STACY selesa dengan imej baru kerana mudah diurus. FOTO Ihsan Instagram Stacy
STACY selesa dengan imej baru kerana mudah diurus. FOTO Ihsan Instagram Stacy
Sudirman Mohd Tahir


GARA-GARA mengalami masalah keguguran rambut, penyanyi Stacy mengambil keputusan memotong rambut pendek, semalam.

Stacy atau nama Islam, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 28, berkata, masalah itu dialami sejak dia melahirkan anak perempuan, Eshaal pada Februari tahun lalu.

“Saya menjangka masalah ini sekejap saja, apatah lagi ramai cakap ia perkara biasa buat wanita yang baru bersalin. Pada mulanya, memang banyak rambut gugur.

“Kemudian, selepas sambutan Aidilfitri lalu, saya perasan rambut bahagian tepi berkurangan dan hampir botak. Disebabkan itu, saya ambil keputusan untuk memotong.

“Sekurang-kurangnya, rambut nampak lebat. Dalam masa sama, proses rambut nak tumbuh pada bahagian bermasalah itu lebih cepat,” katanya kepada Harian Metro.

Stacy yang juga isteri kepada penyanyi, Akim Ahmad berkata, dia pernah menjalani rawatan kesuburan rambut, namun tidak berkesan.

“Kalau ikutkan sudah lama saya nak memotong rambut pendek, tetapi Akim tidak benarkan. Alasannya, nanti muka sama dengan abang saya iaitu Chaq.

“Namun, apabila melihat sendiri masalah yang dihadapi, baru dia izinkan. Apa pun, saya selesa dengan imej baru ini kerana ia mudah diurus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 4:28 PM