Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Stacy tidak menolak rezeki sekiranya dikurniakan cahaya mata kedua.

Stacy, 31, atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam berkata, anak bongsunya, Eshaal sudah mula bertanya mengenai adik baharu.

"Sebenarnya kalau nak tahu, anak saya yang bongsu sudah bertanya bila dia nak ada adik. Malah Akim pun ada 'minta' juga. Macam tu lah. Jujurnya, saya tidak menolak untuk hamil lagi, cuma bergantung pada rezeki juga. 

"Jadi saya harap semua doakan sajalah yang terbaik untuk kami berdua, Insya-Allah," katanya. 

Menurut Stacy, dia menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah SWT.

"Sejujurnya kami memang tidak merancang dah hanya berserah sahaja. Kalau merancang pun, mungkin dari segi kesesuaian masa. Sebagai contoh, tahun lalu, saya nak keluarkan single terbaru yang rancak jadi agak sukar sekiranya saya mengandung.

"Apa pun, kami okay saja dan memang sudah bersedia untuk menimang cahaya mata lagi, cuma belum ada tanda-tanda ke arah itu. Kalau ada rezeki, pasti saya akan kongsikan berita gembira ini kepada semua," katanya.

Stacy dan Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret berkahwin pada 5 Februari 2016. 

Stacy memiliki seorang anak angkat bernama Bella De Luna Valentina, 8, dan seorang anak perempuan, Eshaal Afiq Hakim, 4, tahun hasil perkongsian hidup bersama Akim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 7:13 PM