SARAH Suhairi
SARAH Suhairi
Rudy Imran Shamsudin

Ketika mula mengetengahkan bakat nyanyiannya di YouTube, Sarah Suhairi, 18, sudah berjaya mencuri tumpuan.

Kemampuannya mendendangkan lagu popular tempatan serta Inggeris dan Korea membolehkan penyanyi remaja ini mengumpul peminat.

“Saya tidak sangka bermula daripada minat ia menjadi lebih besar apabila dipelawa syarikat rakaman MVM Production untuk menjadi artis rakaman dan bernaung di bawah pengurusan mereka,” katanya.

Sarah kini muncul dengan single berjudul Pedih yang kini mula dimainkan di stesen radio.

Apa yang menarik, ramai yang mengaitkan Sarah dengan penyanyi popular Dayang Nurfaizah. Malah, ada yang menggelarkannya sebagai Dayang Nurfaizah 2.0.

Ini kerana ketika kemunculan Sarah, tarikannya sama seperti Dayang mula-mula membabitkan diri dalam industri muzik tempatan dahulu.

Bezanya bakat Dayang dikesan menerusi pelbagai pertandingan nyanyian manakala Sarah pula sesuai dengan peralihan zaman yang bakatnya dikesan menerusi media sosial.

Ditanya pendapat mengenai persamaannya dengan Dayang, Sarah berkata, ia terlalu besar dan berat.

“Apabila ada yang kata begitu, saya takut. Maklumlah Dayang itu seorang penghibur yang hebat dan sudah memukau ramai. Membandingkan bakat saya dengan Dayang ibarat langit dengan bumi.

“Namun, saya berterima kasih dengan mereka yang meletakkan bakat saya sebegitu tinggi. Saya cuba melihatnya dari sudut positif. Mungkin mereka mahu melihat saya berjaya seperti Dayang,” katanya.

Menurut Sarah, Dayang adalah antara penyanyi tempatan yang memiliki aura dan kemampuan vokal hebat.

Sarah turut meminati dan mengikuti perkembangan penyanyi yang kini sedang hangat dengan lagu duetnya bersama Hael Hussaini, Haram itu.

Sarah berkata, dia mengharapkan tidak ada pihak cuba membandingkan bakatnya dengan Dayang kerana antara mereka mempunyai kemampuan dan personaliti jauh berbeza.

“Saya bimbang juga kalau ada yang membandingkan, akan timbul salah faham dan rasa kurang senang. Saya pula budak baru nak belajar sementara Dayang sudah berada jauh di atas,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai single Pedih, Sarah berkata, dia bersyukur kerana walaupun masih baru dan tanpa ada sebarang pendedahan besar, lagu itu sudah mula diterima umum.

“Ia sudah berada di dalam carta lagu popular di beberapa stesen radio tempatan. Saya terharu dengan sambutan ini. Maklumlah sekarang ini ada ramai penyanyi seangkatan yang mengenengahkan bakat menerusi laman sosial turut menghasilkan single tetapi lagu Pedih menjadi pilihan.

“Saya tidak pernah bermimpi untuk meraih kejayaan besar dalam sekelip mata. Penerimaan awal ini sudah cukup membuatkan saya berasa bangga dengan pencapaian diperoleh.

“Biarlah saya mendaki kerjaya nyanyian ini perlahan-lahan sehingga umum benar-benar boleh menerima bakat yang saya miliki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 11:36 AM