ROSLAN
ROSLAN
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Benda ini bukan gimik. Kalau saya pengsan, mati serta-merta, adakah itu pun orang anggap gimik?"

Itu kata pelakon dan penyanyi, Roslan Shah mengenai kecaman segelintir pihak yang mendakwa insiden dia rebah dan pengsan ketika tampil sebagai tetamu jemputan di program Wanita Hari Ini (WHI) semalam adalah gimik semata-mata.

Roslan ketika dihubungi berkata, sekiranya itu hanyalah gimik, tidak mungkin pihak TV3 dan hospital mengeluarkan laporan kesihatan rasmi mengenai penyakit darah tingginya.

"Macam-macam dakwaan saya terima sehingga ada orang cakap saya bayar TV3 untuk strategi pemasaran. Benda ini disahkan oleh TV3 dan doktor, tekanan darah saya naik sehingga lebih 220 dan badan panas sebab demam.

"Kalau saya tak demam dan buat gimik, mana boleh keluar keputusan pemeriksaan daripada pihak hospital. Saya pun tak ingin perkara ini berlaku. Saya tak mahu menyusahkan pihak TV3 hingga mereka pun perlu keluarkan kenyataan media," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Roslan, sekiranya itu adalah gimik, dia tidak akan membiarkan mukanya terhempas di bucu meja yang berada di hadapannya.

"Kalau betul-betul gimik, saya tahan dengan tangan dan muka saya takkan kena bucu meja itu. Ini kalau tengok semula video itu, muka saya terhempas di meja," katanya.

Roslan yang berasal dari Singapura itu bagaimanapun memaafkan netizen yang membuat spekulasi tidak benar itu.

"Saya maafkan semua komen-komen negatif daripada netizen itu. Saya sentiasa berfikiran positif. Saya tak pernah bermusuh dengan sesiapa. Ada rakan-rakan artis yang beri semangat. Mereka suruh jaga diri dan kesihatan. Ramai artis hubungi tanya khabar saya.

"Terima kasih kepada orang Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang menghantar mesej dan mendoakan kesihatan saya," katanya yang sudah dibenarkan pulang ke rumah dan berehat, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 7:39 PM