Tam Spider. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Tam Spider. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Najiy Jefri


VOKALIS kumpulan Spider, Tam mengaku kekok ketika menyediakan keperluan anak perempuannya yang lahir pada 26 April lalu.

Tam atau Rustam Mustafa berkata, selama ini dia membeli pakaian untuk tiga ‘hero’ dalam keluarganya tapi tahun ini berbeza.

“Kalau sebelum ini saya menguruskan keperluan untuk tiga anak lelaki Alif, 24, Afiq, 8 dan Aqil, 5, tapi kali ini tugas saya lebih mencabar.

“Pernah saya keluar untuk membeli baju anak perempuan saya, namun saya jadi kekok untuk memilih baju berwarna merah jambu untuknya,” katanya.

Menurut Tam, dia mengaku bersyukur dan teruja apabila dikurniakan cahaya mata perempuan selepas bertahun-tahun menantikan detik itu.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kami untuk menerima bayi perempuan dan akhirnya isteri saya mempunyai 'geng' di rumah.

“Nama puteri pertama dalam keluarga kami ialah Aminah,” katanya pada sidang media Matrix Aidilfitri Festival 2018 di d'Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Konsert Matrix Aidilfitri Festival 2018 bakal berlangsung pada 30 Jun depan diadakan bersempena ulang tahun ke-21 Matrix Concepts dan lima tahun Matrix disenaraikan di dalam Bursa Malaysia.

Tam dan Aida berkahwin pada 8 November 2009, dikurniakan dua anak lelaki Muhammad Afiq, 8, dan Muhammad Aqil, 5.

Menerusi perkahwinan pertama Tam pula, dia mendapat anak lelaki, Muhd Aliff, kini berusia 24 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 5:31 PM