IZREEN gembira berpeluang untuk menyambut kedatangan Ramadan dengan suaminya. Foto Owee Ah Chun
IZREEN gembira berpeluang untuk menyambut kedatangan Ramadan dengan suaminya. Foto Owee Ah Chun
Sudirman Mohd Tahir


KEDATANGAN Ramadan kali ini lebih manis buat pelakon Izreen Azminda apabila dapat menyambutnya bersama suami Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 30, selepas berkahwin pada 8 Ogos lalu.

Izreen atau Izreen Azminda Aznam, 33, yang sebelum ini bergelar ibu tunggal selama tiga tahun mengakui tidak sabar untuk menyediakan juadah berbuka dan sahur untuk suami.

“Alhamdulillah, sambutan Ramadan kali ini lebih bermakna sebab ada suami. Sebelum ini, kalau berbuka di rumah saya dengan ibu dan anak saja.

“Sejujurnya, saya tidak sabar nak menyediakan masakan kegemarannya iaitu asam pedas ayam. Memandangkan dia orang Johor, jadi memang tidak boleh lari daripada asam pedas,” katanya.

Izreen juga berkongsi, suaminya yang juga pemuzik bebas lebih menggemari masakan ringkas dan mudah disediakan.

“Kalau hari biasa, suami suka masakan ringkas. Tidak perlu nak masak beriya-iya. Memadai baginya satu atau dua lauk saja. Apa yang penting kena pedas.

“Alhamdulillah, suami bukan jenis cerewet. Kalau teringin nak makan sesuatu, baru dia minta saya buat. Pendek kata, dia sangat mudah,” katanya.

Mengenai aktiviti seninya, Izreen terbabit dalam beberapa rakaman program raya sepanjang Ramadan ini.

“Ramadan kali ini, saya berehat seketika daripada berlakon. Untuk rakaman program ‘ok’ sebab tidak mengambil masa panjang.

“Selebihnya, saya banyak habiskan masa di rumah bersama anak,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan menimang cahaya mata, Izreen menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah.

“Kalau ada rezeki, adalah. Saya dan suami tidak merancang. Semua ini ketentuan Allah. Kalau diberikan rezeki, saya mengimpikan anak perempuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 12:38 PM