Hafreez dan Zara Zya akui sedang bercinta. FOTO IG Hafreez & Zara Zya
Hafreez dan Zara Zya akui sedang bercinta. FOTO IG Hafreez & Zara Zya
Norhayati Nordin


PASANGAN pelakon, Hafreez Adam dan Zara Zya menafikan pengakuan percintaan dibuat mereka, baru-baru ini hanya sebagai publisiti untuk drama MonaLisa yang dibintangi bersama.

Hafreez, 28, berkata sepanjang tempoh empat tahun dia aktif berlakon, belum pernah dirinya dikait kontroversi atau cerita sensasi.

"Tak dinafikan, sebelum ini memang saya elak untuk dikaitkan dengan mana-mana pelakon wanita yang berlakon bersama.

"Ia disebabkan saya seorang yang kurang gemar bercakap soal berkaitan peribadi seperti cinta termasuk menjadi perhatian.

"Namun, Alhamdulillah selama itu juga saya masih berada dalam industri dan diterima baik. Jadi, kenapa sekarang kena buat gosip cinta untuk lariskan drama?

"Kenapa baru sekarang? Saya bersikap terbuka sedikit mengenai hubungan dengan Zara kerana sedar penyokong kami nampak ikatan itu terjalin dan ada juga bertanya. Jadi, kami berdua memilih untuk jujur saja," katanya.

Ujar pemilik nama sebenar, Hafreez Adam Aizat Zahalan ini lagi dia dan Zara membuat pengakuan itu kerana tidak mahu menipu penyokong karier seni mereka.

"Saya akui dulu memang bersikap pentingkan kerana bekas kekasih bukan seorang selebriti. Namun, apabila bercinta dengan Zara, saya perlu akur dia dikenali dan ada kelompok peminatnya.

"Jadi, biar pun kami juga tahu risikonya apabila membuat pengakuan cinta itu memandangkan terbabit dalam bidang karier yang sama, kami OK untuk berkongsi," katanya

Pun begitu, Hafreez berkata dia sebenarnya tidak mahu dengar sangat benda-benda negatif mengenai hubungan cinta dengan Zara kerana enggan ia mempengaruhi diri.

"Kepada mereka yang tidak percaya, terpulanglah. Itu hak masing-masing. Cuma, janganlah cakap yang bukan-bukan.

"Cukup sekadar doa yang baik-baik buat kami. Apapun, saya ingibn ucapkan terima kasih kepada semua penyokong kami yang menerima baik hubungan cinta dijalin ini," katanya.

Menurut Hafreez lagi, dia juga tidak menyangka betapa hubungan percintaannya dengan Zara cukup mendapat perhatian dan jadi bualan hangat.

Zara Zya, 33, dalam kenyataannya pernah memberitahu dia tidak menganggap perbezaan usia dengan Hafreez sebagai halangan untuk mereka bercinta.

"Saya selesa menjalin hubungan dengan Hafreez kerana dia bersikap matang, baik, manis serta bila bercakap pun elok dan sopan," katanya.

Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata dia juga melihat jalinan cintanya bersama Hafreez terbina semula jadi dan mengharapkan berkekalan hingga ke fasa perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 2:40 PM