Zara Zya
Zara Zya
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Zara Zya menjelaskan hubungannya dengan usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa sekadar rakan baik dan bukan bercinta seperti andaian segelintir pihak.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 36, berkata, Alha sering meraikan ulang tahun kelahirannya sepanjang perkenalan mereka.

"Kami sudah lama bersahabat baik sejak tujuh atau lapan tahun lalu. Sehingga ke hari ini kami masih lagi bersahabat baik.

"Jadi, setiap tahun sempena hari jadi saya, pasti Alha tidak melepaskan peluang untuk meraikannya bersama. Mungkin kerana itulah ramai yang menganggap kami bercinta atau sebagainya, namun kami tiada hubungan istimewa pun," katanya.

Zara yang menyambut hari jadi pada 22 Oktober lalu memuat naik video di Instagram di mana dia bersama Alha berkunjung ke Pusat Jagaan Sri Mesra di Ampang yang menempatkan warga tua muslimah.

Zara berkata, Alha yang memberinya idea untuk menyambut hari jadi di situ.

"Saya setuju dan terfikir untuk ajak Ippo Hafiz yang memberi cadangan pergi ke pusat jagaan itu sebab dia sudah banyak kali pergi.

"Apabila masuk rumah itu, kami disambut baik oleh jururawat yang menjaga ibu-ibu di situ dan semua orang dalam rumah itu gembira saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 4:54 PM