ONEREPUBLIC bakal kembali ke Malaysia.
ONEREPUBLIC bakal kembali ke Malaysia.
Georgie Joseph

Apabila berbicara mengenai OneRepublic, band itu antara nama dominan yang sentiasa tampil dengan komposisi muzik yang unik.

Meskipun nama band dari Colorado, Amerika Syarikat (AS) itu tidak segah Coldplay, bakat muzik mereka sangat disanjungi.

Dianggotai Ryan Tedder selaku vokalis, Zach Filkins (gitar), Drew Brown (gitar), Eddie Fisher (dram) dan Brent Kutzle (bass), mana-mana pendengar pasti mudah mengesan lagu mereka di radio disebabkan identitinya kukuh.

Secara ringkas, komposisi lagu OneRepublic dalam kategori ‘catchy’, mendalam, rancak dan sarat dengan permainan instrumental.

Band itu tidak pernah berpuas hati dalam berkarya walaupun sudah menghasilkan melodi hebat.

Puas mengelilingi dunia, mereka sentiasa mengumpul inspirasi dari pelbagai lokasi dilawati.

Bermula dengan lagu Apologize yang melonjakkan nama OneRepublic, transisi lagu band itu jauh semakin bagus.

Karya seperti Counting Stars, Love Runs Out, Secrets, Stop and Stare, I Lived dan If I Lose Myself melekat di hati pendengar.

Bukan saja lirik malah mesej yang tersirat dalam lagu mereka tidak klise sebagaimana lagu lain masa kini.

Evolusi menjadi keutamaan band ini dalam hal penghasilan karya dan elemen itu sentiasa diterapkan dalam setiap album.

Setakat ini, band itu sudah menghasilkan empat album iaitu Dreaming Out Loud pada 2007, Waking Up (2009), Native (2013) dan Oh My My (2016).

OneRepublic bakal kembali beraksi di Malaysia selepas kali terakhir bertandang ke sini pada 2013.

Band itu akan menjayakan Konsert OneRepublic Live in Malaysia 2018 anjuran WGW Entertainment sebagai sebahagian daripada siri konsert jelajah sekitar Asia.

Konsert berkenaan akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 25 April nanti.

Menerusi konsert mereka pada 2013, band itu berjaya menarik lebih 5,000 penonton untuk hadir.

Tiket berharga RM668 untuk kategori (VIP), RM578 (Rockzone), RM498 (Cat 1), RM398 (Cat 2), RM298 (Cat 3), dan RM178 (Cat 4) sudah boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticketcharge.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 11:41 AM