FEEZA masih buat persembahan untuk pelbagai majlis anjuran MPSJ, korporat.
FEEZA masih buat persembahan untuk pelbagai majlis anjuran MPSJ, korporat.
Ramlah Zainal


Ketika zaman kegemilangannya dulu, nama penyanyi memang tidak asing pada peminat hiburan tanah air pada era 1990-an.

Malah, namanya meniti di puncak populariti menerusi lagu popularnya, Ungkapan Kata Bernafas Cinta pada 1996.

Ternyata, Feeza yang bernaung di bawah pengurusan Jalil Hamid Production ketika itu sudah memiliki peminat tersendiri menerusi single pertamanya itu.

Namun, ketika namanya meniti di bibir peminat, Feeza nekad berehat daripada bidang nyanyian kerana ditawarkan bekerja sebagai artis budaya di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sejak 2000.

Bagi pemilik nama sebenar Hafiza Shaari, 42, ini dia terima tawaran bekerja sebagai artis budaya di MPSJ untuk masa depan lebih terjamin bersama keluarga.

“Selepas berkhidmat selama 18 tahun, saya ditawarkan bertugas sebagai Penolong Pegawai Integriti di MPSJ bermula tahun lalu.

“Namun, saya masih membuat persembahan untuk pelbagai majlis anjuran MPSJ. Selain itu, saya masih memenuhi undangan persembahan untuk pihak korporat dan lagu yang disampaikan juga lebih sesuai dengan tema majlis,” katanya.

Namun, kata Feeza, cintanya pada bidang nyanyian tidak pernah pudar. Malah, dia sanggup mengeluarkan bajet sendiri untuk menghasilkan single baru pada 2005.

“Saya juga pernah menghasilkan single ciptaan komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan berjudul Antara Kasih dan Kasihan pada 2005.

“Namun, single yang dihasilkan kurang menyerlah dan gagal menarik perhatian peminat ketika itu. Pada masa sama, saya juga pernah merancang menerbitkan album kedua yang memuatkan 10 lagu tetapi ia terbengkalai.

“Oleh itu, saya terus putuskan untuk fokus pada karier di MPSJ saja hingga sekarang,” katanya.

Menanti program Gegar Vaganza

Pada usia 42 tahun, Feeza yang selesa dengan penampilan berhijab tetap merancang membuat kemunculan semula dalam bidang seni tanah air.

“Saya tidak anggap diri ini sudah terlewat untuk kembali dalam bidang nyanyian. Saya juga masih mengikuti perkembangan dunia hiburan dengan rakan artis seperjuangan dulu.

“Insya-Allah, jika ada rezeki, saya merancang kembali aktif dalam bidang nyanyian. Saya berharap dapat peluang untuk muncul dalam program seperti Gegar Vaganza pula selepas ini.

“Dari segi lagu baru pula, saya merancang menghasilkan genre lagu yang sama dengan lagu popular dulu kerana ia sesuai dengan vokal,” katanya.

Beralih sisi peribadinya pula, Feeza masih selesa dengan status solo sampai sekarang selepas bercerai dengan suaminya, Ahmad Zahid Hassan pada 2010.

Hasil perkongsian hidup terdahulu, Feeza dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Hafizul Iqram, 16; Nur Alesya Humaira,14; Muhammad Zahirul, 12 dan Nur Zahira, 12.

“Saya belum bertemu pengganti dan masih dengan status solo. Hanya anak sulung yang kini di bawah jagaan saya dan yang lain bersama bekas suami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 2:04 AM