LIZA letakkan sepenuh keyakinan kepada pasukan untuk cari pasaran buatnya.
LIZA letakkan sepenuh keyakinan kepada pasukan untuk cari pasaran buatnya.
HM Digital

Penyanyi Liza Hanim yang mendapat tempat kedua pada final Gegar Vaganza musim keempat (GV4) Ahad lalu tidak kecewa apabila tewas di tangan Aishah.

Liza berkata, dia dari awal menjangkakan penyanyi lagu Janji Manismu itu menjadi juara selepas diberikan tugasan lagu All By My Self.

Malah, Liza mengakui Aishah pesaing terdekatnya sejak dari awal pertandingan dan yakin penyanyi itu ada kelebihan tersendiri.

“Sebenarnya saya puas apabila tewas kepada Aishah. Sejak mengetahui dia masuk GV4, saya sudah nampak dia pasti juara. Namun, saya tidak mengalah dan tidak terfikir pun nak tarik diri. Bagi saya, apa yang penting kena berikan persembahan terbaik.

“Tipu kalau saya kata tak nak menang, tetapi apabila Aishah ada ini adalah cabaran sebenar. Ketika diumumkan layak ke peringkat akhir, soal menang atau kalah bukan lagi keutamaan. Apa yang penting nyanyian bagus atau tidak dan jaga kesihatan,” katanya.

Liza yang juga pemenang tempat kedua pertandingan Golden Teen Search 1996 menghargai sokongan peminat yang tetap menginginkan dia bergelar juara.

“Saya terharu jika masih ada yang mengharapkan sebegitu. Bagi saya, ini satu penghargaan. Saya tidak boleh komen layak untuk menang kerana ini adat pertandingan.

“Perbezaan dua markah membuktikan persembahan sedikit kurang daripada Aishah. Penjurian adalah berdasarkan kualiti nyanyian. Jadi memang tak boleh buat silap.

“Apabila diumumkan sebagai Top 2, saya berasa lega, gembira dan puas. Kiranya, persembahan yang ditunjukkan berjaya menarik perhatian juri,” katanya.

Pembabitan Liza pada GV4 juga memberi bayangan dia kini kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas sekian lama menyepi.

Malah, Liza menjadikan GV4 sebagai platform untuknya lebih ke depan dan mencuri hati peminat generasi baru.

“Ini adalah kemunculan semula saya. Saya janji takkan menyepi lagi. Bagi saya, peluang sebegini tidak datang selalu. Jadi, saya nekad untuk terus mara dan membuktikan masih boleh menyanyi.

“Diakui ketika ini cabaran datang daripada peminat. Apatah lagi sekarang mereka lebih meminati penyanyi baru. Malah, generasi baru ada yang tak kenal saya. Oleh itu, syarikat pengurusan memainkan peranan penting.

“Saya percaya dalam hal ini banyak perkara tak diduga bakal berlaku. Jadi, saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada pasukan untuk cari pasaran buat saya. Alhamdulillah, mereka sudah ada perancangan dan tahu apa yang terbaik untuk saya,” katanya.

‘Blur’ apabila ditugaskan nyanyi lagu Search

Sebagai permulaan, Liza bakal muncul dengan single terbaru hasil ciptaan Hafiz Hamidun.

Namun, jauh di sudut hatinya timbul kerisauan mengenai sambutan yang bakal diterima terhadap lagu baru itu nanti.

Apatah lagi kebanyakan peserta GV yang menghasilkan single dilihat gagal mencuri hati peminat muzik sekarang.

“Diakui saya memang takut dengan situasi ini kerana pasaran muzik berbeza. Ketika dalam GV, suasana dan sambutan berbeza. Apabila kembali kepada realiti sebenar, ia memberikan cabaran tersendiri.

“Macam saya katakan tadi, ini semua peranan pihak pengurusan. Saya bersyukur ada pasukan yang membantu semua ini. Mereka lebih faham dan arif perkara yang perlu dilakukan,” katanya.

Berkongsi mengenai persembahan akhir GV4, Liza mengakui dia berdepan kesukaran untuk menghayati lagu Meniti Titian Usang nyanyian asal kumpulan Search.

“Masa dapat lagu ini, saya ‘blur’. Semalaman saya memikirkan lagu ini sehinggakan saya solat hajat untuk diberi petunjuk. Alhamdulillah, apabila reda dengan tugasan ini keesokannya saya terus ada idea apa yang perlu dibuat.

“Memandangkan lirik lagu ini berunsurkan ketuhanan, saya cuba sampaikannya dengan penuh penghayatan. Saya berkata dalam diri, persembahan ini adalah satu bentuk dakwah kepada semua penonton,” katanya. -Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 4:34 AM