KUMPULAN Red Velvet sedia berlepas ke Korea Utara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. FOTO EPA
KUMPULAN Red Velvet sedia berlepas ke Korea Utara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. FOTO EPA
AFP

BINTANG K-pop antara rombongan 120 ahli muzik Korea Selatan untuk mengadakan persembahan kebudayaan di Pyongyang, Ahad ini.

Persembahan kebudayaan itu adalah acara merentas sempadan terbaharu antara Pyongyang dan Seoul, menjelang penganjuran sidang kemuncak antara dua negara di Semenanjung Korea bulan depan.

Rombongan itu berlepas dari lapangan terbang Gimpo, Seoul menuju ke Pyongyang hari ini, dengan menaiki pesawat komersil.

Selain kumpulan Red Velvet, rombongan itu turut disertai anggota kumpulan Girl Generation, Seohyun, 26, yang bakal bertugas sebagai pengacara persembahan itu.

“Persembahan di Pyongyang akan memperkukuh jalinan kerjasama dua negara Korea yang terjalin sejak Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang,” kata Menteri Kebudayaan Korea Selatan, Do Jong-hwan yang mengetuai rombongan berkenaan.

Selain konsert bertemakan ‘musim bunga akan datang’ di Pyongyang pada Ahad, rombongan kebudayaan itu juga dijadual mengadakan persembahan bersama artis Korea Utara di Gimnasium Ryugyong Jong Ju Yong, yang mampu memuatkan 12,000 penonton pada Selasa ini.

Jong-hwan berkata, beliau juga bakal bertemu dengan pegawai kanan Korea Utara bagi membincangkan mengenai isu kerjasama dan pertukaran sukan serta kebudayaan antara Pyongyang dan Seoul.

Sementara itu, agensi berita Yonhap berkata, persembahan di Korea Utara yang diadakan di Panggung Teater Timur Pyongyang yang mempunyai 1,500 tempat duduk, akan dirakam dan disunting kru video Korea Selatan, sebelum disiarkan sebagai program televisyen kerjasama antara kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 6:59 PM