Baru-baru ini, teman Cik Pang berkongsi kisah mengenai penyanyi nasyid popular, Hafiz Hamidun yang kononnya terasa hati seolah-olah disisihkan stesen TV Alhijrah.

Malah, ada juga dengar versi lain khabarnya penyanyi itu sebenarnya digam stesen televisyen Islamik itu.

Kata teman Cik Pang, penyanyi lagu zikir itu tertanya-tanya apa salahnya sampai pihak penerbit tidak pernah mengundangnya muncul dalam program mereka.

Namun dakwa satu sumber, sebenarnya ada satu kumpulan nasyid popular yang tidak sukakan Hafiz sehingga turut meracun stesen TV supaya ketepikan penyanyi itu dalam program hiburan Islamik di situ.

Dakwa sumber itu, program hiburan anjuran kumpulan nasyid popular itu sering menampilkan artis nasyid lain, tapi tidak pernah mengundang Hafiz.

Hinggalah satu hari ada peminatnya memuat naik soalan di laman Twitter, kenapa tidak pernah nampak Hafiz dalam program anjuran kumpulan nasyid popular itu.

Hafiz yang tidak tahu apa yang berlaku, tidak mampu menjawab soalan itu, sebaliknya berharap stesen TV dan produksi dapat memberi maklum balas.

Walaupun tiada jawapan penuh daripada stesen TV, kata teman Cik Pang, ada juga berlaku 'perang Twitter' antara Hafiz dan kumpulan nasyid itu yang masing-masing cuba mendapatkan jawapan.

Sebenarnya, Cik Pang tak sangka rupa-rupanya dalam perjuangkan nasyid sebagai satu medium dakwah mengajak pendengar ke arah kebaikan, ada juga yang 'cakap tak serupa bikin'.

Mungkin salah Cik Pang juga sebab terlupa kita bukan 'maksum' dan artis nasyid juga sama seperti artis lain, cuma bezanya genre muzik yang diperjuangkan.

Pesan Cik Pang kepada Hafiz, bersabarlah. Pasti ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Selagi peminat sukakan karya kita, di mana saja saluran, mereka pasti akan memberi sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:06 AM