LAKONAN dalam drama bersiri Isteri Tuan Ihsan.
LAKONAN dalam drama bersiri Isteri Tuan Ihsan.
Ramlah Zainal


Nama pelakon, Nadia Mustafar tidak asing di persada hiburan tanah air. Malah, pelakon berpengalaman itu terus bertahan sepanjang 20 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

Namun, kata pemilik nama sebenar Siti Naziyah Sheikh Mustafar, 40, dia juga selektif menerima watak yang ditawarkan ketika ini.

“Bersandarkan pengalaman dalam bidang lakonan, pastinya, saya memilih watak yang menarik dan sesuai dengan usia.

“Saya juga tidak kisah melakonkan watak pembantu asalkan karakternya menarik dan meninggalkan kesan mendalam pada penonton.

Walaupun tidak banyak babak dalam drama tetapi saya akan pastikan kemunculan dalam setiap babak diingati penonton,” katanya.

Terbaru, dia yang ingin disapa sebagai Nazia diberi kepercayaan melakonkan watak Puan Maznah yang juga pengurus rumah dalam drama bersiri popular Isteri Tuan Ihsan yang bersiaran di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam, 5 Disember lalu.

Drama bersiri 20 episod arahan Raja Ahmad Alauddin ini adaptasi novel karya Sara Kyoko diterajui Amyra Rosli dan Aaron Aziz serta terbitan Global Station Sdn Bhd.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan maklum balas memberansangkan yang diterima dari penonton pada drama bersiri ini.

“Saya terima tawaran buat cerita itu kerana tertarik dengan jalan ceritanya dan karakter puan Maznah yang tahu segala urusan dalam rumah Tuan Ihsan.

“Tidak semestinya watak orang gaji tak menarik contohnya watak Puan Maznah dalam cerita ini yang berjaya meraih perhatian penonton.

“Saya tidak ada masalah bekerjasama dengan barisan pelakon baru dalam cerita ini kerana masing-masing memberi kerjasama yang baik seperti diharapkan,” katanya.

Selain kekuatan skrip dan jalan cerita yang ada kelainan, Nazia berkata, dia juga percaya tarikan drama bersiri Isteri Tuan Ihsan kerana gandingan mantap Aaron Aziz dan Amyra Rosli selaku teraju utamanya.

“Walaupun masih baru, Amyra berjaya melakonkan watak utama dalam cerita ini seperti dikehendaki skripnya dengan baik.

“Pada masa sama, kejayaan sesebuah drama juga bergantung pada kerjasama semua pelakon dan kru terbabit,” katanya.

Antara drama yang dilakonkannya sebelum ini ialah Uda & Dara dan Mencintaimu terbitan Global Station Sdn Bhd.

Tidak ketinggalan, dia turut berlakon dalam filem Buli, Pontianak Harum Sundal Malam, Amir dan Loqman Pergi Ke Laut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 5:02 AM