Janna Nick
Janna Nick

Kuala Lumpur: Pelakon Janna Nick, 28, menyeru mana-mana produksi agar tidak melanjutkan masa penggambaran sehingga 20 jam atau lebih.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner berkata, sebagai pelakon, dia amat menghargai masa terluang dan waktu bekerja seimbang.

"Saya ini kalau 'shooting', tak kuasalah nak kemas kini IG (Instagram). Sebab terlalu penat. Tapi kali ini, ya Allah sumpah tak rasa macam 'shooting'. Balik lagi awal dari orang kerja kerajaan tahu.

"Balik sempat pergi gim bersenam, sempat masak masak. Tidur cukup lapan jam. Kerja macam ini, kehidupan dan kerja seimbang. Secara automatik, kita jadi seronok dan tak stres.

"Jadi kepada produksi atau pasukan lain, tolong ambil maklum okay. Janganlah bagi artis dan kru kerja sampai 20 jam. 12 hingga 14 jam cukup!" katanya.

Janna berkongsi luahan itu kerana sangat bersyukur produksi drama Bukan Puteri Lindungan Bulan memudahkan kerja yang terbabit termasuk dirinya.

"Rezeki pasukan Bukan Puteri Lindungan Bulan hari ini. Sebab mereka hari hari tamatkan awal. Rajinlah kita nak memasak. Cuba kalau 'shooting' pagi ke pagi. Mana mahunya. Rezeki saya dapat pasukan 'best'," katanya.

Janna kini sibuk menjalani penggambaran drama terbabit yang turut dibintangi Hisyam Hamid serta Amar Baharin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 3:17 PM