DILAMAR sebagai artis solo selepas beberapa kali gagal bersama kumpulan Fair.
DILAMAR sebagai artis solo selepas beberapa kali gagal bersama kumpulan Fair.
Ridzuan Abdul Rahman


Barangkali masih ada peminat yang mengingati lagu Terlanjur Menyintaimu ciptaan Saari Amri dan LY serta lagu Andai Aku Terluka ciptaan LY dan Baiduri yang dimuatkan dalam album pertama kumpulan Fair pada 1996.

Selepas menghasilkan album pertama berjudul Jemputan Khas, kumpulan dari Segamat, Johor yang dianggotai Azul (vokal), Jasni (gitar), Along (Bass) dan Eddie (Drum) ini berpecah dan masing-masing membawa haluan sendiri.

Sebagai pengasas dan penyanyi, Azul tidak berputus asa apabila kembali menghidupkan Fair pada 2006 yang dianggotai anggota baru, tetapi menemui kegagalan.

Sekali lagi, Azul tampil bersama anggota baru Fair pada 2011 dengan single berjudul Seindah Bahasa Semanis Bicara, namun, usaha itu turut berdepan kegagalan.

Ibarat pejuang, Azul tidak mengalah untuk terus mencuba nasib. Kini, dia boleh tersenyum gembira apabila Universal Music Malaysia melamarnya sebagai artis solo.

“Ibarat satu mimpi apabila A&R Universal Music Malaysia, Fauzi Omar menawarkan peluang itu. Dalam masa terdekat, saya akan kembali merakamkan lagu Seindah Bahasa Semanis Bicara ciptaan Rosli Ahmad sebagai single pertama.

“Perubahan turut dilakukan apabila nama Azul Fair akan ditukar kepada Azul Rusli. Saya bersetuju kerana peluang ini sudah lama dinantikan,” katanya.

Menurutnya, perkenalan dengan Fauzi Omar yang terjalin selama empat tahun membawa kepada tawaran berkenaan.

“Dia terbuka menerima pendapat dan bijak menilai artis yang berpotensi untuk diketengahkan kepada peminat. Alhamdulillah, single saya akan masuk jualan digital seperti di iTunes, Spotify dan JOOX, manakala, video muzik pula pada Januari depan.

“Kehilangan saya sebelum ini disebabkan bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat pengeluar kain terkenal selama lima tahun,” katanya.

Azul mengakui teruja untuk kembali menyanyi kerana dia masih dapat banyak undangan persembahan.

“Namun, saya sukar terima tawaran itu kerana terikat dengan kerja sebelum ini. Akhirnya, saya nekad meletak jawatan pada Ogos lalu dan memilih untuk fokus pada bidang nyanyian. Saya bersyukur kerana segalanya berjalan lancar.

“Dalam pada itu, lagu Terlanjur Menyintaimu masih menjadi permintaan peminat untuk diputarkan di stesen radio. Ia berjaya muncul juara Carta Sinar baru-baru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 3:12 AM