LOKMAN Aslam
LOKMAN Aslam
Ramlah Zainal

Bakat penyanyi dan komposer muda Lokman Aslam mula digilap menerusi program realiti TV One In A Million (OIAM) musim pertama pada 2006.

Dalam program itu, bekas peserta Top 7 (OIAM) ini turut bersaing dengan penyanyi terkenal seperti Faizal Tahir dan Dayang Nurfaizah.

Nama Lokman terus mencuri perhatian ramai apabila single dendangannya, Namun Engkau Tahu menjadi hit di YouTube apabila mencatat 96,000 tontonan pada 2008.

Selepas single Namun Engkau Tahu, nama Lokman seakan-akan menyepi seketika. Hakikatnya, Lokman atau nama sebenarnya, Mohd Lokman Aslam Abdul Mutalip, 31, banyak terbabit dengan kerja belakang tabir.

“Selepas OIAM, saya banyak mencipta lagu termasuk untuk artis lain. Saya juga buat lagu tema untuk produk Fair & Lovely berjudul Aku Cinta Padamu.

“Saya lebih selesa menyanyi lagu ciptaan sendiri kerana menyanyi datang dari hati.

“Selain itu, saya juga banyak membuat persembahan di kelab jaz sekitar ibu kota ,” katanya.

Terbaru, Lokman mempertaruhkan single duet bersama penyanyi Atilia berjudul Segalanya sekali gus kembali menyemarakkan bidang seni tanah air.

“Lagu Segalanya adalah ciptaan saya sendiri. Ia mengisahkan orang yang tidak menghargai pasangannya dan pada suatu hari mereka bertemu semula.

“Saya bertemu dengan Atilia dua tahun lalu. Saya melihat kami ada keserasian untuk bekerjasama dalam lagu duet. Vokal kami juga serasi bila digabungkan. Saya suka bekerja dengannya kerana dia tegas dan cepat ketika bekerja,” katanya.

Anak jati Pulau Pinang ini berharap lagu duet dengan Atilia itu akan mendapat sambutan peminat.

“Lagu Segalanya edaran syarikat rakaman Warner Music. Ia akan mula diputarkan di stesen radio tempatan tidak lama lagi.

“Saya juga percaya sekarang adalah masa yang tepat untuk kembali dalam bidang nyanyian. Saya juga ada pengikut setia yang menyokong karier saya saya sampai sekarang,” katanya.

Mengenai bingkisan album penuh pula, Lokman yang cenderung dengan genre R&B dan soul merancang muncul dengan album mini tahun ini.

“Saya kini bernaung di bawah pengurusan syarikat milik Atilia. Sama seperti mentor saya (Atilia), saya percaya penyanyi perlu ada album penuh untuk kepuasan diri dan peminat.

“Buat permulaan, saya akan menghasilkan album mini yang memuatkan empat lagu ciptaan sendiri. Proses rakaman akan bermula pada minggu depan. Ia membabitkan barisan pemuzik yang memainkan alat muzik secara langsung,” katanya.

Sebelum ini, Lokman pernah membuat persembahan ‘One Nite Only With Lokman Aslam’ di The Heritage Club, Hotel Royale Chulan pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 12:43 PM