Norhayati Nordin


DUGAAN buat pelakon baru, Aprena Manrose, 24, apabila bayaran membintangi filem epik, 1875 arahan Imran Ismail pada Jun lalu, belum diterima.

Aprena atau Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata, walaupun jumlah bayaran untuk filem itu hanya ribuan ringgit tetapi ia tetap haknya.

Katanya, ia punca juga pendapatannya sebagai pelakon.

“Saya sudah memberi komitmen sebaik mungkin untuk watak Asiah dalam filem yang menjalani penggambarannya di Perak.

“Sudahlah perlu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Perak, ketika itu bulan puasa pula. Babak dilakonkan juga memerlukan saya masuk lumpur, gua dan mandi hujan,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Aprena, demi hasil lakonan yang terbaik untuk filem berkisar sejarah Tanah Melayu itu, semuanya dilakukan dengan komitmen tidak berbelah bahagi.

“Sebagai pelakon, saya melakukan tanggungjawab saya dan bayaran juga sudah dijanjikan. Tapi selepas berbulan, saya belum terima bayaran walau satu sen pun. Ia membuatkan saya sangat kesal,” katanya.

Katanya, perkara itu juga sudah dibawa kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tetapi belum ada penyelesaian.

“Saya berharap Seniman dan Finas dapat membantu menyelesaikan isu bayaran pelakon yang tidak dilunaskan,” katanya.

Sebelum ini, pelakon Zarina Zainuddin juga mengatakan tidak mendapat bayaran berlakon filem 1875 terbitan Maiamanja Pictures. Malah anak lelakinya juga turut berlakon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 5:46 PM