HM Digital

Sambutan Deepavali baru-baru ini paling bermakna buat Ajay Devgan apabila filem terbaru lakonannya, Golmaal Again berjaya menjadi filem pecah panggung pada hari pertama dan kutipannya terus meningkat.

Filem arahan Rohit Shetty itu turut menampilkan Parineeti Chopra, Tabu, Arshad Warsi, Tushar Kapoor, Shreyas Talpade, Kunal Khemu, Prakash Raj dan Neil Nitin Mukesh.

Menurut laporan BoxofficeIndia.com, pada hari pertama tayangan filem itu berjaya mengaut kutipan tiket RM5 juta dan ia adalah kutipan tertinggi untuk tayangan pada hari pembukaan mengatasi kutipan semua filem yang ditayangkan sepanjang tahun ini.

Filem itu mengisahkan lima sekawan iaitu Gopal (lakonan Ajay), Madhav (Arshad), Lucky (Tusshar), Laxman (Shreyas) dan seorang lagi yang juga bernama Laxman (Kunal).

Mereka adalah anak yatim yang dibesarkan di rumah anak yatim Seth Jamnadas di Ooty, India.

Apabila dewasa, mereka kembali ke rumah anak yatim itu untuk menziarahi mentor yang menjaga mereka selama ini. Terdapat insiden yang berlaku di rumah itu, maka timbullah pelbagai kelucuan.

Baru-baru ini trailer filem itu ditayangkan beberapa kali di Times Square, New York antara jam 2 petang hingga 9 malam khusus untuk rakyat India yang menetap di sana dan mereka sudah tidak sabar menunggu filem itu ditayangkan di Amerika Syarikat.

Walaupun Golmaal Again terpaksa bersaing dengan filem Aamir Khan iaitu Secret Superstar yang turut ditayangkan pada Deepavali, namun nampaknya filem itu terus berada di depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 2:06 AM