Aisyah Aziz kecewa. FOTO fail HM/MUNIRA ABDUL GHANI
Aisyah Aziz kecewa. FOTO fail HM/MUNIRA ABDUL GHANI
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI Aisyah Aziz, 23, kecewa apabila ada individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan namanya di aplikasi perbualan WeChat.

“Ini bukan kali pertama. Dua tahun lalu berlaku perkara sama dan saya ada buat laporan polis.

“Namun, tiada apa-apa tindakan susulan kerana ia jenayah online,” katanya kepada Harian Metro.

Aisyah berkata, dia tahu insiden itu tiga hari lalu menerusi maklumat salah seorang mangsa.

“Seorang gadis menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai mesej yang diterimanya daripada pemilik akaun bernama ‘Aish” yang menggunakan gambar saya sebagai profil.

“Dalam mesej WeChat terbabit, pemilik akaun itu menawarkan tawaran berlakon kepada gadis berkenaan dan meminta sejumlah wang untuk skrip serta sebagainya,” katanya.

Aisyah berpesan kepada semua pengguna WeChat supaya tidak mudah percaya orang tidak dikenali.

“Bahaya kalau ada di antara kita mudah percaya dengan penipuan sebegini. Zaman sekarang, macam-macam cara digunakan untuk mendapatkan wang.

“Saya memohon supaya orang ramai tidak terlalu mudah termakan pujuk rayu atau tawaran lebih-lebih lagi yang menggunakan nama artis serta membabitkan duit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 6:17 PM