TUN Dr Mahathir Mohamad melihat pemandu memandu tanpa memegang stereng kereta ketika menaiki kenderaan yang dikawal menggunakan sensor serta kamera teknologi 5G di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TUN Dr Mahathir Mohamad melihat pemandu memandu tanpa memegang stereng kereta ketika menaiki kenderaan yang dikawal menggunakan sensor serta kamera teknologi 5G di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail dan Mahanum Abdul Aziz


TUN Dr Mahathir Mohamad berpeluang merasai sendiri teknologi masa hadapan apabila dibawa menaiki kereta tanpa pemandu selain melakukan perbualan menggunakan teknologi hologram.

Pada majlis pelancaran Showcase teknologi generasi kelima (5G) di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri dibawa menaiki sebuah Proton Exora biru tanpa pemandu sejauh 500 meter di laluan berhadapan Istana Kehakiman sehingga ke Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini.

Kereta 5G pemanduan sendiri itu dibangunkan oleh Ericsson dan Celcom melalui perkongsian dengan eMooVit, sebuah syarikat pemula teknologi tinggi.

Proton Exora itu dilengkapi sejumlah kamera, radar dan alat pengesan yang membolehkan kenderaan itu mengesan kawasan persekitarannya.

Ketika sesi percubaan itu, seorang pemandu keselamatan berada ditempat duduk pemandu dan memberi penerangan kepada Dr Mahathir mengenai teknologi berkenaan tanpa memegang stereng.

Perdana Menteri yang kelihatan teruja dengan teknologi itu sempat melemparkan senyuman dan melambaikan tangan kepada orang ramai dan jurugambar yang berada ditepi laluan.

Sebaik mahu melangkah masuk ke Dewan Sri Siantan di mana majlis pelancaran diadakan, Dr Mahathir sekali lagi merasai pengalaman teknologi masa depan apabila wajahnya diimbas bagi membolehkan kebenaran diberikan untuk memasuki dewan.

Kemudian ketika majlis pelancaran, Perdana Menteri berkesempatan mengadakan perbualan dengan seorang kanak-kanak perempuan bernama Aisyah secara hologram.

Aisyah atau nama sebenarnya Tengku Zara Eryna Tengku Ahmad Saifuddin, 7, bukan wajah asing bagi Dr Mahathir kerana pernah tampil dalam video klip kempen Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.

Aisyah yang tampil secara hologram sempat bertanyakan soalan dengan menggunakan panggilan Atuk bagi merujuk kepada Perdana Menteri.

Aisyah : Atuk ketika anda sebaya saya, apakah teknologi G yang ada? Dr Mahathir kemudian menjawab Zero G yang kemudian mengundang ketawa dikalangan hadirin.

Aisyah kemudian bertanya lagi apakah teknologi selepas 5G nanti? yang kemudian dijawab Dr Mahathir sebagai ‘teleportasi manusia’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 8:30 PM