AISYAH bersama suaminya, Gbob.
AISYAH bersama suaminya, Gbob.
Ridzuan Abdul Rahman

ISTERI kepada pelawak Gbob, Siti Aisyah Wahiddin bersyukur keadaan suaminya semakin pulih selepas menjalani sesi pemulihan di Pusat Rehab Perkeso Melaka.

Aisyah berkata, suaminya dibenarkan keluar dari situ pada 11 Mac lalu.

"Gbob dimasukkan ke situ sejak Disember lalu untuk sesi pemulihan selama empat bulan. Keadaan kakinya semakin kuat dan dia sekarang cuba berjalan menggunakan tongkat untuk jarak dekat.

"Saya bersyukur kerana Gbob pernah bekerja dan mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Jadi rawatan ini ditanggung sepenuhnya oleh mereka," katanya.

Gbob atau nama sebenarnya Mohd Hamizi Hashim yang juga bekas peserta Raja Lawak 5 dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 5 Mac tahun lalu selepas terjatuh dalam bilik air di rumah mereka.

Pemeriksaan doktor mendapati ada pendarahan dalam otaknya dan perlu dibedah.

Gbob juga menjalani pembedahan memasang semula tempurung kepalanya di HKL pada 12 September tahun lalu. Bercerita lanjut, Siti Aisyah berkata, Perkeso meminta mereka merujuk kepada doktor mengenai masalah lain yang dihadapi suaminya.

"Maksudnya kalau dia nak bekerja, nak mahirkan diri atau ada masalah percakapan, doktor perlu keluarkan surat untuk dia dimasukkan kembali ke pusat rehab ini selepas Aidilfitri nanti.

"Kalau dia nak mula berlakon semula, kenalah belajar bercakap dengan lancar lagi. Tangannya kena buat latihan lagi untuk boleh genggam dan boleh digerakkan. Buat masa ini tangan kanannya masih tak boleh bergerak," katanya.

Menurutnya, dia juga merangka proses pemulihan suaminya dengan menganjurkan program jualan bubur lambuk untuk diinfaq kepada orang-orang yang memerlukan pada Ramadan ini.

"Tujuannya juga nak bagi Gbob berinteraksi dengan orang ramai kerana ikutkan dia sudah lama tak jumpa kawan-kawan dan katanya merindukan mereka.

"Kadang-kadang dia sedih apabila menonton filem dan drama lakonannya dulu. Katanya untuk dia jadi macam dulu seperti agak susah. Walaupun tangan kanannya masih belum boleh digerakkan, dia tak pernah putus asa untuk kembali pulih," katanya.

Aisyah yang menyambut ulang tahun perkahwinan keenam dengan Gbob pada 15 Mac lalu mengakui gembira melihat suaminya kembali boleh berjalan walaupun dalam keadaan perlahan-lahan.

"Dia juga boleh urus diri sendiri dan memakai baju sendiri. Begitu juga dengan ubat, dia makan sendiri. Banyak yang dia belajar sepanjang berada di pusat rehab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 6:40 AM