Nabila tegas tidak dapat beri kerjasama. FOTO fail HM
Nabila tegas tidak dapat beri kerjasama. FOTO fail HM
Syanty Octavia Amry


PELAKON Nabila Huda menafikan dakwaan mengatakan dia menolak tawaran berlakon filem Blok 404 berikutan ditawarkan bayaran yang tidak sepatutnya.

Nabila, 32, berkata, dia tidak dapat menerima tawaran itu kerana terikat dengan jadual penggambaran drama bersiri Dendam Aurora.

"Tidak timbul isu saya dibayar sedikit, tetapi jadual yang padat menyebabkan saya tidak dapat terbabit menjayakan filem berkenaan.

"Watak saya terlalu berat dalam Dendam Aurora dan saya perlu lebih fokus. Malah, banyak tawaran berlakon lain yang saya terpaksa tolak," katanya ketika ditemui pada pelancaran drama itu di pusat beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam drama 100 episod itu, Nabila berganding dengan Ungku Ismail Aziz dan Shah Iskandar.

Nabila berkata, walaupun pihak produksi filem Blok 404 cuba menyusun jadual bagi memastikan dia terbabit untuk filem berkenaan, dia tetap bertegas tidak dapat terbabit sama.

"Usia saya bukanlah muda lagi. Jika dulu saya boleh menerima banyak tawaran dalam satu masa. Kini saya sudah mula terasa penatnya apatah lagi untuk drama ini saya tidak hanya penat mental dan fizikal, malah lokasi penggambaran yang jauh membuatkan saya letih kerana perlu memandu sendirian," katanya.

Katanya, jika diberi peluang dia mahu berlakon dalam filem berkenaan jika watak yang diberikan sesuai untuknya.

Blok 404 pernah diterbitkan dalam format Video Cakera Padat (VCD) pada 2001 dan Nabila adalah salah-seorang pelakon asalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 8:11 PM