HATTAN (kiri) dan Nash.
HATTAN (kiri) dan Nash.
Nor Akmar Samudin


Dua penyanyi yang sudah layak digelar sifu dalam industri hiburan tanah air, Datuk Hattan dan Datuk Nash (Lefthanded) sanggup menolak semua tawaran kerja pada Ogos ini kerana mahu menyempurnakan hasrat menunaikan fardu haji.

Mereka berdua akan berangkat ke Tanah Suci Makkah menerusi penerbangan terakhir ke Jeddah pada 28 Ogos ini dan akan berada di sana selama dua minggu.

Menurut Hattan, sebaik saja menerima ‘jemputan’ istimewa itu, dia terus menolak tawaran membuat persembahan pada acara penutup Sukan SEA 2017 kerana mahu menunaikan ibadah haji buat kali pertama selepas dua kali mengerjakan umrah.

“Peluang untuk menunaikan haji datang sekali dan saya tidak akan melepaskannya. Saya baru dapat tahu nama terpilih untuk ke Tanah Suci sebelum Ramadan lalu dan sangat teruja dengan perkhabaran ini.

“Oleh itu saya terus tolak tawaran menjayakan persembahan di Sukan SEA.

“Tidak dinafikan Sukan SEA tawaran yang besar dalam kerjaya saya tetapi bekalan akhirat lagi penting dan bermakna. Sudah terlalu lama saya simpan hasrat ini dan alhamdulillah, ia jadi kenyataan,” katanya.

Mengenai persiapan, Hattan akan mengikuti kursus haji dalam masa terdekat.

“Saya pernah mengikuti kursus haji beberapa tahun lalu dan hampir mahu ke sana tetapi ketika itu Allah SWT belum mengizinkan lagi.

“Bagaimanapun, saya akan mengikuti kursus haji sekali lagi dan rasanya tiada masalah kerana pernah mengerjakan umrah sebelum ini,” katanya.

Nash juga berkongsi rasa yang sama dengan Hattan, tidak akan melepaskan peluang untuk ke rumah Allah kerana sebagai umat Islam setiap orang mahu menyempurnakan rukun Islam kelima.

“Saya sangat terharu dan insaf kerana diberi peluang mengerjakan haji. Setiap umat Islam pasti mahukan kesempurnaan apabila dapat menunaikan haji. Mudah­mudahan Allah SWT permudahkan urusan saya di sana nanti dan melakukan segala ibadah dengan sempurna.

“Asalnya saya belum ada perancangan untuk ke sana tetapi ini semua Allah SWT sudah aturkan untuk saya. Bagaimanapun, sudah dua kali saya mengerjakan umrah dan kerinduan untuk ke sana tidak pernah terpadam.

Rindu untuk berdoa di makam Rasulullah dan rindu untuk beribadah di Makkah.

“Saban hari saya muhasabah diri kerana dalam kehinaan dan dosa yang banyak, Dia jemput juga saya ke sana. Saya akan masuk kursus haji dan berjumpa ustaz untuk belajar dengan mereka agar mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Hattan dan Nash ditemui selepas sidang media 1st World Sama’ Fest yang diadakan di sebuah hotel di Damansara, baru ­ baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 10:19 AM