GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Murni Wan OmarHayati IbrahimSri Ayu Kartika Amri dan Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (Pupuk) bagi menyokong agenda digitalisasi dan menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai.

Sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan RM100 juta untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kempen Shop Malaysia Online dan Go eCommerce Onboarding diteruskan dengan sasaran lebih 300,000 peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai.

Katanya, kerajaan menambah peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga RM5,000 untuk pembelian sistem atau langganan platform digital.

"Kerajaan juga akan menggalakkan penyertaan PKS mikro menceburi platform e-dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

"Sehubungan itu, kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti akan diperkasakan untuk membantu usahawan luar bandar terbabit dalam ekonomi digital.

"Seterusnya, kerajaan akan memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian.

"Program ini yang akan dilaksanakan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 7:02 PM