HARIS menunjukkan produk sejuk beku keluaran syarikatnya  di Kompleks Industri Makanan Mara, Jalan Batu Caves.
HARIS menunjukkan produk sejuk beku keluaran syarikatnya di Kompleks Industri Makanan Mara, Jalan Batu Caves.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Arisprop Holdings Sdn Bhd berada di landasan kukuh untuk menembusi pasaran dalam dan luar negara menerusi produk sejuk bekunya, Aris Burger.

Pengarah Urusannya, Datuk Haris Embong berkata, sejak Aris Burger berada di pasaran dua tahun lalu, ia semakin mendapat permintaan selain sudah berada di 400 pasar raya, pasar mini dan kedai runcit seluruh negara.

Katanya, memandangkan syarikat sudah membuka kilang awal tahun lalu, pihaknya optimis dapat memenuhi pengeluaran produk untuk dieksport ke luar negara kerana mampu mengeluarkan kira-kira 20 tan produk sehari berbanding hanya satu tan sebelum ini.

"Kami juga sebenarnya sudah menerima permintaan dari Thailand, Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura, Myanmar dan Timur Tengah.

"Bagaimanapun, untuk akhir 2021 ini kami akan memfokus pasaran Sabah, Sarawak dan mengeksport Aris Burger ke Brunei serta Thailand.

"Sebagai pengeluar burger dan oblong ayam kampung pertama di Malaysia, Aris Burger juga dihasilkan mengikut piawaian dan standard yang berkualiti selain menggunakan formulasi campuran rempah tersendiri," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Aris Burger juga mempunyai kandungan peratusan daging yang tinggi bagi setiap kepingan daging, namun dijual pada harga kompetititf.

Haris berkata, terdapat empat jenis Aris Burger di pasaran iaitu ayam kampung, ayam, daging dan kambing yang didatangkan dengan saiz iaitu 60 dan 70 gram.

"Selain itu, kami ada juga produk daging dan ayam kisar, burger saiz 100 gram, oblong (ayam dan daging), bebola ayam serta daging.

"Kami menyasarkan jualan kira-kira RM6 juta ke RM8 juta sebulan melalui pengeluaran 15 ke 20 tan sehari produk sejuk beku dan ini hanya bagi pasaran pasar raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 7:20 AM