MOHD Izzuddin bersama produk keluaran syarikatnya.
MOHD Izzuddin bersama produk keluaran syarikatnya.
Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Akie Burger Malaysia menyasarkan untuk menghasilkan 200 usahawan burger Bumiputera golongan B40 yang mampu meraih pendapatan lumayan tahun ini.

Kini terdapat lebih 60 usahawan terbabit dalam program francais perniagaan makanan segera berkenaan menggunakan kios di Kuantan, Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Izzuddin Mohamed berkata, sambutan yang menggalakan masyarakat terhadap produk jenama Akie Burger memberi ruang lebih cerah kepada usahawan Bumiputera untuk mencipta kejayaan dalam bidang perniagaan itu.

Katanya, hanya berbekalkan yuran seumur hidup RM600, mereka mampu menjadi usahawan berjaya menggunakan jenama Akie Burger yang kini terkenal dengan pelbagai produk.

"Dengan modal pertama RM400, mereka diberikan kios menarik dengan rekaan terkini dan pelbagai kelengkapan turut diberikan secara percuma.

"Kami turut menyediakan bahan mentah seperti daging atau patty burger, sosej, roti dan sos sebagai permulaan perniagaan. Usahawan hanya perlu menyediakan bahan seperti sayur, telur dan tomato," katanya.

Menurutnya, setiap bulan usahawan hanya perlu membayar sewa RM260 dengan syarat tambahan semua bahan utama perlu menggunakan produk Akie Burger.

Mohd Izzuddin berkata, selepas 12 tahun berada di pasaran tempatan, pihaknya akan menggerakkan dua kilang baharu di kawasan perindustrian Indera Mahkota 14, selain menghasilkan produk lain seperti sosej dan nugget.

"Ketika ini, kami mempunyai kilang yang memproses lima tan daging ayam dan sembilan tan daging lembu bagi menghasilkan daging burger.

"Kilang baharu yang akan beroperasi tidak lama lagi akan mengeluarkan produk sosej, nugget, sos dan roti burger menggunakan jenama Akie Burger.

"Saya berharap lebih ramai lagi belia Bumiputra yang meminati bidang perniagaan dapat merebut peluang yang disediakan untuk meraih pendapatan lumayan sebagai usahawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:01 AM