ZAHARAH  berkata, walaupun pandemik menjejaskan banyak perniagaan di serata dunia namun ia tidak harus dilihat sebagai satu masalah besar.
ZAHARAH berkata, walaupun pandemik menjejaskan banyak perniagaan di serata dunia namun ia tidak harus dilihat sebagai satu masalah besar.

AGROBANK terus bertindak proaktif dan bijak mengatur strategi dalam membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menguruskan perniagaan agar kekal relevan khususnya bagi mengharungi perubahan prosedur operasi standard (SOP) mengikut situasi semasa yang bertujuan mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan, Akie Group Sdn Bhd, Zaharah Zainuddin berkata, walaupun pandemik menjejaskan banyak perniagaan di serata dunia namun ia tidak harus dilihat sebagai satu masalah besar, sebaliknya fokus harus diberikan untuk mencari jalan agar kemampanan perniagaan dapat diteruskan dalam apa jua keadaan.

"Contohnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan mengehadkan waktu perniagaan sehingga jam 8 malam sahaja yang mengakibatkan ramai tidak dapat meneruskan aktiviti perniagaan seperti biasa termasuk kami di Akie Burger yang mana rata-rata 68 usahawan di bawah kami menjalankan perniagaan burger mereka pada waktu malam.

"Oleh itu, saya tidak boleh mengambil keputusan untuk terus tidak berniaga, apa yang saya lakukan ialah saya tetap membuka perniagaan dan mengatur semula jadual pekerja saya, pergi ke kilang seperti biasa untuk memproses daging burger," katanya yang mengeluarkan daging burger di bawah jenama Akie Burger.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel bagi berkongsi pengalaman menguruskan perniagaan sepanjang PKP dalam siri pertama program Umbi Agro 2021 yang diadakan secara maya menerusi Facebook Live Agrobank.

Sesi itu membincangkan topik Setahun Pandemik Covid-19: Tips Berdaya Saing dan Formula Bergerak ke Hadapan yang dikendalikan Ketua Jabatan Pusat Kecemerlangan Agrobank, Rosli Jusoh.

Zaharah berkata, usahawan perlu cekap mengendalikan kewangan dan mengurus perbelanjaan dengan bijak selain merebut peluang untuk mendapatkan bantuan kewangan yang ditawarkan kerajaan.

Sementara itu, Pengurus Wezlay Enterprise, Norsyakirah Othman yang turut menyertai sesi itu berkata beliau terpaksa menutup perniagaan sebulan pada awal pelaksanaan PKP pada Mac 2020 dan mengalami masalah pembayaran gaji pekerja.

Bagaimanapun dengan bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan dan sokongan berterusan daripada Agrobank, perniagaannya berjaya keluar daripada masalah itu malah kini mampu bersaing setanding jenama piza terkemuka di Malaysia dengan menawarkan 20 jenis piza mengikut cita rasa tempatan dan barat.

Wezlay Enterprise menghasilkan piza sejuk beku dan piza siap dibakar.

"Saya mengatur semula peniagaan, selain itu melantik ejen-ejen jualan yang terdiri daripada suri rumah di kawasan sekitar Jengka di Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 7:00 AM