PESERTA bergambar kenangan selepas habis bengkel.
PESERTA bergambar kenangan selepas habis bengkel.
Fazurawati Che Lah


Seramai 30 peserta terdiri pelajar sekolah dan mahasiswa terpegun dengan tarian flamenco yang didatangkan khas dari Sepanyol ketika mengikuti bengkel tarian itu di Galeri Seni, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program sehari bersama penari flamenco, Anabel Veloso daripada Anabel Veloso Flamenco Dance Company itu bagi memberi pendedahan kepada peserta berkenaan seni tari berkenaan.

Penyelaras Program Bahasa Sepanyol UM, Dr Rozita Che Omar berkata, bengkel dengan kerjasama Kedutaan Sepanyol itu bagi mendekati peserta dengan tarian flamenco.

“Bukan saja indah dan mempunyai nilai estetika Sepanyol yang tinggi, seni tari flamenco ini masih dilihat asing bagi kebanyakan masyarakat di negara ini.

“Kami mengambil inisiatif untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah dan universiti bagi menghayati tarian ini dengan menganjurkan sebuah bengkel tarian flamenco dengan kerjasama Kedutaan Sepanyol di Malaysia,” katanya yang juga Presiden Pertubuhan Guru-Guru dan Pelajar Bahasa Sepanyol Malaysia (APELEM).

ANABEL dalam satu persembahan di luar negara.
ANABEL dalam satu persembahan di luar negara.

Flamenco adalah bentuk kesenian dari Sepanyol yang terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu bermain gitar, alunan lagu dan seni tarian.

Malah Flamenco juga dikatakan berasal dari wilayah selatan Sepanyol, tapi dipengaruhi banyak komponen gerak tari dari negara lain termasuk Amerika Tengah, Latin dan Timur Tengah.

Peserta yang hadir adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Shah 1 dan 2, Selangor dan SK Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur serta mahasiswa jurusan Bahasa Sepanyol UM.

Pelajar SK Alam Shah 2, Sharifah Nur Addinie Sufi melahirkan kegembiraan dan keterujaan kerana menyaksikan tarian flamenco asli dari jarak dekat.

“Tarian ini sangat unik dan menarik. Jika sebelum ini saya hanya dapat melihatnya di televisyen atau melalui Internet, tapi dengan adanya bengkel ini, saya berpeluang menyaksikan dan mempelajari tarian ini secara langsung.

“Paling menarik, peserta turut didedahkan dengan beberapa perkataan bahasa Sepanyol seperti bilangan nombor dan perkataan berkaitan langkah tarian.

“Saya teruja kerana boleh mempelajari bahasa dengan penutur asal kedua teramai di dunia ini dalam suasana yang ceria dan santai. Walaupun perkongsian ini singkat, ia dapat menarik minat untuk mempelajarinya lagi dengan mendalam pada masa akan datang,” katanya.

ANABEL (kanan) memberi tunjuk ajar langkah tarian kepada peserta.
ANABEL (kanan) memberi tunjuk ajar langkah tarian kepada peserta.

Sementara itu, Duta Besar Sepanyol, Carlos Dominguez Diaz, berkata program interaksi budaya sebegini akan diadakan dari semasa ke semasa bagi mendedahkan golongan muda di Malaysia kepada bahasa dan budaya negara berkenaan.

“Usaha ini sebenarnya selaras dengan visi yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang ingin melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu menguasai lebih daripada satu bahasa selain daripada bahasa ibunda, bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris.

“Aktiviti kebudayaan begini diharapkan dapat memupuk minat pelajar untuk mula mempelajari bahasa Sepanyol,” katanya.

Kedutaan Sepanyol sebelum itu turut menaja 20 pelajar yang hadir itu untuk menyaksikan satu persembahan flamenco khas untuk kanak-kanak yang diadakan di Damansara Performance Art Centre (DPAC), Selangor yang turut dijayakan Anabel Veloso sebagai penari utama.

PESERTA gigih menurut setiap gerak tari flamenco ditunjukkan Anabel.
PESERTA gigih menurut setiap gerak tari flamenco ditunjukkan Anabel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 2:18 PM