PERSEMBAHAN tarian Bisaya pada showcase di salah satu sekolah sekitar Cheonan.
PERSEMBAHAN tarian Bisaya pada showcase di salah satu sekolah sekitar Cheonan.
Suliati Asri


Universiti tidak hanya menjadi medan mencari ilmu dalam bidang pembelajaran semata-mata.

Ia juga tempat yang dapat mencungkil bakat terpendam pelajar.

Malah, penyertaan pelajar dalam pelbagai aktiviti dan persatuan bukan saja dapat mencungkil bakat, tetapi memberi peluang kepada mereka mengembangkannya ke peringkat lebih tinggi.

Contohnya, Universiti Teknologi Petronas (UTP), walaupun sinonim dengan bidang kejuruteraan dan tekĀ­nologi namun siapa sangka pelajarnya turut mempunyai bakat terpendam yang perlu terus digilap.

Terbaru, UTP menerusi Kumpulan Seni Persembahan UTP (UPAG) berjaya membuktikan pelajar dalam bidang kejuruteraan dan teknologi juga mempunyai bakat besar dalam seni tari.

Lebih membanggakan apabila kumpulan dianggotai 26 penari berjaya memenangi Anugerah Emas dalam Pertandingan Tarian Rakyat di Festival Tarian Antarabangsa Cheonan 2023 di Korea Selatan, baru-baru ini.

Eksekutif Kanan (Warisan Seni & Budaya), Unit Pemerkasaan Bakat, Pusat Pembangunan Pelajar UTP, Mohd Nordin Abdolatip atau lebih dikenali sebagai En Dino berkata, walaupun universiti itu lebih kepada bidang kejuruteraan dan teknologi namun pihaknya juga menyediakan platform untuk mengetengahkan bakat-bakat pelajarnya.

Menurutnya, setiap pelajar mempunyai minat serta bakat tersendiri dan apabila menyambung pengajian di universiti dalam bidang akademik, itu tidak bermakna mereka perlu lupakan minat serta memendam bakat yang ada.

"Sebenarnya, untukĀ­ membentuk pelajar berkebolehan dan berdaya saing, kami buka ruang dan peluang kepada pelajar yang mungkin mempunyai minat mereka termasuk dalam bidang kesenian.

"Oleh itu, menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa antara matlamat UTP untuk memberi pengalaman meluas kepada pelajar," katanya.

Sepanjang festival lima hari, UPAG mempersembahkan lima tarian iaitu Ajat Pengerami, Tarian Limbai, Kokos Dansa, Tari Adat Melayu dan Tari Bisaya Borneo.

Mohd Nordin berkata, pihaknya memilih lima tarian itu kerana mahu memperlihatkan kepada dunia Malaysia negara yang kaya dengan kepelbagaian dan keunikan budaya.

"Kami juga memilih tarian dari Sabah dan Sarawak kerana umum tahu tarian dua negeri yang mempunyai pelbagai etnik ini mempunyai keunikan tersendiri terutama dari segi gerak tarinya.

FESTIVAL Tarian Antarabangsa Cheonan 2023 di Korea Selatan disertai 16 negara dari seluruh dunia.
FESTIVAL Tarian Antarabangsa Cheonan 2023 di Korea Selatan disertai 16 negara dari seluruh dunia.

UPAG ketika dinobatkan sebagai pemenang anugerah emas pada Festival Tarian Antarabangsa Cheonan 2023.
UPAG ketika dinobatkan sebagai pemenang anugerah emas pada Festival Tarian Antarabangsa Cheonan 2023.

"Busana dan aksesori digunakan secara tidak langsung memperlihatkan keunikan tarian itu dan ia sesuatu yang perlu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Kejayaan dikecapi pastinya disulami dengan cabaran. Sebelum dan ketika Festival Tarian Sedunia Cheonan 2023, banyak cabaran dilakui UPAG terutama dalam melakukan persediaan untuk membentuk pelajar.

Mohd Nordin berkata, ini pentas antarabangsa dan kebanyakan peserta yang menyertai pertandingan ini dalam kalangan penari profesional.

Manakala UTP sendiri, pelajar bukan dibentuk menjadi penari tetapi mereka ini melibatkan diri atas dasar minat dan tarian adalah aktiviti sampingan di kampus.

"Jadi, apabila UTP mengambil keputusan menyertai pertandingan ini, pastinya persediaan itu harus lebih mantap dan kekangannya adalah dari segi masa.

"Kami perlu mencari masa yang sesuai untuk menjalankan latihan intensif kepada pelajar.

"Namun, kami bernasib baik kerana pertandingan ini berlangsung pada Oktober dan pihak UTP biasanya peperiksaan pelajar sekitar hujung Ogos.

"Jadi, kami mempunyai sedikit masa kira-kira dua minggu untuk menjalankan latihan intensif bersama pelajar. Ini bermakna, selama dua minggu itulah kami memang benar-benar melatih penari-penari daripada pagi hingga ke malam," katanya.

Selain masa, cabaran lain yang perlu di hadapi adalah untuk mendapatkan pakaian atau busana dan aksesori yang akan digunakan semasa persembahan.

Mohd Nordin berkata, walaupun pihak kami mempunyai sedikit budget untuk membeli, namun bukan mudah untuk mendapatkan busana tradisional dan aksesori yang lengkap serta asli.

"Busana Iban misalnya, banyak kekangan yang terpaksa kami hadapi untuk mendapatkannya.

"Kami terpaksa meminta bantuan pelajar Sarawak yang pulang ke kampung untuk mendapatkan aksesori dan busana masyarakat Iban ini di Lubuk Antu, namun tetap juga tidak mencukupi," katanya.

Selain itu, apabila mengetengahkan karya-karya masyarakat etnik, tarian-tarian ini tidak mudah untuk dipersembahkan.

"Kami perlu menjaga dan memahami sensitiviti yang perlu diambil berat kepada etnik yang diangkat, keaslian dan setiap gerak tari perlu dipersembahkan dengan betul. Jadi, ini antara cabaran yang kami terpaksa hadapi untuk mengangkat tarian-tarian etnik Sabah dan Sarawak ini," katanya.

Mohd Nordin berkata, kejayaan ini adalah kegembiraan dan kejayaan besar bukan untuknya secara peribadi tetapi lebih kepada pelajar dan ia juga satu kebanggaan buat Malaysia.

SITI Aisyah Syareena (tengah) bergambar kenangan bersama peserta lain pada Festival Tarian Antarabangsa Cheonan 2023.
SITI Aisyah Syareena (tengah) bergambar kenangan bersama peserta lain pada Festival Tarian Antarabangsa Cheonan 2023.

UPAG semasa sesi latihan yang mengambil masa 2 minggu sebelum pertandingan.
UPAG semasa sesi latihan yang mengambil masa 2 minggu sebelum pertandingan.

"Kami mengikuti pertandingan ini bukan untuk membawa nama peribadi tetapi untuk mengangkat nama universiti dan pastinya nama negara kita Malaysia.

"Jadi, diumumkan sebagai pemenang Anugerah Emas dalam Tarian Rakyat, segala penat lelah sebelum pertandingan ini berbaloi," katanya.

Kemenangan ini juga memberi pengalaman yang bermakna buat pelajar kerana peluang hanya akan datang sekali dalam seumur hidup mereka.

"Jadi, apabila peluang yang diperoleh untuk ke pentas antarabangsa, bertanding dan menang, itu adalah satu pengalaman yang cukup bermakna buat mereka," katanya.

Penari UPAG, Siti Aisyah Syareena Syamsulhairi, 20, berkata, kemenangan itu cukup bermakna sekali gus membayar segala penat lelah dan pengorbanan yang dilakukan sebelum serta ketika festival.

"Ketika Malaysia (UPAG) dinobatkan sebagai pemenang, perasaan gembira itu tidak tergambar dengan kata-kata.

"Kejayaan itu secara tidak langsung membayar segala pengorbanan semua yang terbabit terutama dari segi masa, komitmen dan banyak lagi," katanya.

Siti Aisyah Syareena berkata, rata-rata penari adalah pelajar kejuruteraan dan teknologi yang kebanyakannya tidak ada latar belakang dalam bidang tarian.

Justeru, pelbagai cabaran perlu mereka lalui sebelum dinobatkan sebagai menang.

"Selain terpaksa menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di KOREA, kami juga terpaksa bergelut dengan pembahagian masa antara pelajar dan latihan.

"Kami juga terpaksa mengorbankan cuti semester untuk latihan yang dijalankan dari pagi hingga malam.

"Apabila semester baharu bermula, kami semua perlu membahagikan masa antara akademik dan kokurikulum untuk berlatih.

"Namun, kami bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar daripada dua koreografer yang memberi kepercayaan dan membantu kami sepanjang sesi latihan," katanya.

Walaupun mengambil bidang kejuruteraan petroleum di UTP, minat Siti Aisyah Syareena dalam bidang tarian tidak pernah pudar malah lebih berkembang lebih-lebih lagi UTP sendiri menggalakkan pelajarnya mencungkil bakat masing-masing.

Menurutnya, dia menceburi bidang tarian sejak di bangku sekolah kerana minat dengan keunikan seni dan budaya Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya.

"Saya bersyukur kerana walaupun mengambil jurusan kejuruteraan petroleum namun saya masih boleh meneruskan minat dalam tarian.

"Di UTP, selain menekankan kepentingan dalam bidang akademik, universiti menggalakkan kami untuk menyertai aktiviti kokurikulum yang diminati supaya bakat yang ada tidak disia-siakan dan dapat di manfaatkan serta dipersembahkan di peringkat yang lebih tinggi.

"Pada pendapat saya, langkah ini penting dalam memastikan pelajar dapat memperoleh pengalaman untuk digunakan pada masa yang akan datang selain daripada memperkenalkan seni budaya di mata dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 7:02 AM