PESERTA membuka akaun Facebook dan Instagram masing-masing.
PESERTA membuka akaun Facebook dan Instagram masing-masing.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Syarikat komunikasi utama, Maxis menganjurkan Projek Laris Raya untuk komuniti FELCRA Sungai Ara di Kota Tinggi, Johor bagi memperkasa usahawan tempatan menggunakan alat digital dengan cara yang betul dan kemahiran pemasaran untuk membantu mengembangkan perniagaan.

Program sehari itu berlangsung di Pusat Internet FELCRA Sungai Ara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), baru-baru ini.

Seramai 40 peserta mengambil bahagian dalam bengkel pemasaran digital di mana mereka mempelajari cara untuk mengoptimumkan perniagaan menggunakan media sosial, fotografi dan asas perakaunan.

Selain itu, mereka juga diajar untuk membuka akaun Facebook perniagaan, mengambil gambar Instagram yang baik, menulis keterangan gambar menarik perhatian dan memanfaatkan alat pemetaan digital. Bengkel berkenaan dikendalikan 60 sukarelawan Maxis dari Kuala Lumpur dan Johor.

Ketua Hal Ehwal Korporat Maxis Mariam Bevi Batcha berkata, beliau gembira kerana perancangan untuk mengadakan projek itu yang memberi impak positif kepada penduduk dapat dilaksanakan dengan jayanya.

PESERTA yang menyertai Bengkel Digital sempena Projek Laris Raya anjuran Maxis.
PESERTA yang menyertai Bengkel Digital sempena Projek Laris Raya anjuran Maxis.

“Kebanyakan usahawan tempatan seperti di FELCRA Sungai Ara mempunyai iltizam untuk berjaya dalam perniagaan diusahakan tapi tidak mempunyai pengetahuan teknologi digital bagi memajukan perniagaan.

“Sempena musim perayaan ini, kami mengambil peluang membantu komuniti dengan sesuatu yang dapat memberi manfaat dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, beliau berharap peserta dapat menggunakan peluang itu dengan sebaiknya untuk mengembangkan perniagaan kerana teknologi adalah medium paling berkesan dan mudah bagi pemasaran produk perniagaan.

Peserta bengkel, Norazurah Mohamad berkata, beliau gembira kerana diberi peluang menyertai bengkel itu yang sarat dengan ilmu berguna untuk membantu usahawan kecil sepertinya.

“Sebelum ini saya kurang mahir menggunakan Internet tapi hasil bimbingan sukarelawan ia menjadi mudah.

“Pemasaran menggunakan laman sosial bukan saja menjimatkan sekali gus lebih mudah mendapat pelanggan baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 10:33 AM