BERBASIKAL pada waktu malam secara berkumpulan antara yang mewarnai Putrajaya.
BERBASIKAL pada waktu malam secara berkumpulan antara yang mewarnai Putrajaya.
CAHAYA menerangi Putrajaya menjadi faktor tumpuan ramai pengunjung.
CAHAYA menerangi Putrajaya menjadi faktor tumpuan ramai pengunjung.
Hafiz Ithnin


Nama Putrajaya sudah tidak asing lagi bagi mereka yang gemarkan aktiviti bersantai atau rekreasi malam kerana ia boleh dianggap sebagai lokasi selamat dan meriah dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan mahupun bagi golongan muda.

Dikelilingi kawasan hijau dan bangunan kerajaan yang teratur menjadikan lokasi ini sering kali menjadi tumpuan terutama bagi mereka yang tinggal di luar wilayah berkenaan.

Jika ditanya kepada golongan yang aktif berlari pada waktu malam, rata-ratanya pasti menge­syorkan kawasan itu sebagai destinasi untuk berlatih kerana ia sentiasa terang dan tidak sibuk dengan kenderaan.

Tambahan pula, laluan untuk berlari di kawasan itu lapang dan terdiri daripada pelbagai bentuk muka bumi yang pasti dapat menguji tahap kemampuan pelari.

Maka, tidak hairanlah mengapa kawasan berkenaan sering kali menjadi tumpuan penganjur untuk mengadakan kejohanan larian sama ada maraton mahupun larian berhalangan yang kini semakin mendapat tempat.

Bukan sekadar mempunyai trek pelbagai dan jarak yang jauh, pemandangan di sekitar Putrajaya dihiasi beraneka bangunan kementerian juga menjadi salah satu tarikan.

Setiap bangunan mempunyai seni bina berbeza dan ia sememangnya mampu menarik lebih ramai pengunjung dari luar negara khasnya untuk melawat kawasan berkenaan sambil beriadah khususnya menjelang malam.

Pihak berkuasa di sana juga sering kali menganjurkan pelbagai aktiviti seperti karnival cahaya setiap tahun yang berjaya menarik kehadiran begitu ramai pengunjung tempatan dan luar negara.

Antara lain, bagi mereka yang ingin melihat panorama terbaik Putrajaya, jangan lupa untuk berada di atas Jambatan Seri Wawasan yang menghidangkan keindahan tersendiri dan sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata kerana ia mencerminkan kemajuan Malaysia.

Dari atas jambatan itu, pengunjung boleh melihat bangunan pentadbiran disimbah pelbagai warna lampu bagi menghidupkan lagi suasana malam di kawasan berkenaan.

Bagi kanak-kanak terdapat juga aktiviti malam yang boleh mereka ikuti selain ada pihak menyediakan perkhidmatan menyewa kasut roda di beberapa lokasi.

Anda yang gemarkan aktiviti lasak pula, ada premis menyediakan kemudahan mendaki tembok tiruan di Taman Cabaran Putrajaya (PCP) dan pada hari tertentu ia dibuka hingga jam 10 malam.

PCP juga adalah pusat latihan memanjat tembok terbesar di Malaysia dengan keluasan 195 meter persegi dan dilengkapi pelbagai tahap kesukaran pendakian.

Menariknya, PCP juga mempunyai tembok berketinggian hingga 20 meter atau bersamaan bangunan lima tingkat yang membolehkan pendaki melakukan pelbagai disiplin atau cabaran laluan.

Selain itu, tidak sekadar dilengkapi dengan aktiviti ekstrem, Putrajaya juga mempunyai pelbagai pusat beli-belah yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk berbelanja dan tempat makan menarik.

Maka tidak salah rasanya untuk dikatakan Putrajaya antara lokasi terbaik bagi menikmati kehidupan malam di Malaysia!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 11:08 AM