BUKIT Broga antara lokasi mendaki menjelang malam yang popular.
BUKIT Broga antara lokasi mendaki menjelang malam yang popular.
PEMANDANGAN Sungai Melaka ketika malam dengan pelbagai aktiviti hiburan.
PEMANDANGAN Sungai Melaka ketika malam dengan pelbagai aktiviti hiburan.
KAWASAN tinggalan warisan hidup dilimpahi cahaya ketika malam.
KAWASAN tinggalan warisan hidup dilimpahi cahaya ketika malam.
MERCU tanda di Istana Bukit Serene, Johor menjadi perhatian pengunjung.
MERCU tanda di Istana Bukit Serene, Johor menjadi perhatian pengunjung.
BERBASIKAL di kawasan bandar menjadi aktiviti menarik menjelang malam.
BERBASIKAL di kawasan bandar menjadi aktiviti menarik menjelang malam.
Hafiz Ithnin


Ramadan kembali lagi. Pasti ramai yang sibuk menggandakan pelbagai amalan kerohanian pada bulan paling dinanti-nantikan semua umat Islam ini.

Dalam mengerjakan pelbagai ibadat, tidak kurang ada antara kita yang ingin mengisi masa senggang dengan melakukan aktiviti beriadah atau rekreasi ketika malam memandangkan siang adalah tempoh untuk berpuasa.

Aktiviti beriadah pada waktu malam ketika Ramadan boleh dilakukan dalam tempoh selepas berbuka hingga menunggu waktu menunaikan solat Tarawih.

Tambahan pula, bagi sesetengah individu yang aktif dalam aktiviti sukan rekreasi misalnya memerlukan latihan secara konsisten dalam memastikan mereka dapat mengekalkan momentum stamina untuk kejohanan yang berlangsung selepas Ramadan.

Sebenarnya di Malaysia terdapat pelbagai lokasi yang menarik untuk dikunjungi orang ramai ketika malam sama ada untuk aktiviti bersantai bersama keluarga mahupun kegiatan membabitkan latihan sukan.

Apatah lagi sektor pelancongan di Malaysia juga sudah lama memperluaskan lokasi yang menarik untuk dikunjungi ketika malam dengan memperkenalkan pelbagai produk kepada pelancong tempatan dan asing.

Misalnya, keindahan Kuala Lumpur saat menjelangnya malam boleh disaksikan pelancong jika menaiki bas mengelilingi kotaraya metropolitan itu.

Maka, tidak hairanlah di kawasan segi tiga emas itu juga turut meriah dengan pelbagai hiasan lampu berwarna-warni yang menerangi jalan tertentu, sekali gus mampu menjadikan kawasan tumpuan pelancong itu lebih hidup.

Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Zain Azrai Rashid berkata, orang ramai yang ingin beriadah melihat keindahan Kuala Lumpur pada waktu malam boleh berbuat demikian dengan menaiki basikal disediakan operator pelancongan.

Beliau berkata, aktiviti berbasikal di kawasan Kuala Lumpur membabitkan laluan warisan sememangnya mampu memberi kesan positif kepada pelancong untuk mengenali tinggalan khazanah negara terutama bangunan sejarah.

“Ramadan bukan menjadi penghalang kepada orang ramai untuk beriadah kerana boleh dikatakan setiap negeri mempunyai produk pelancongan tersendiri yang boleh dinikmati pada waktu malam.

“Jika di Kuala Lumpur meriah dengan kayuhan berbasikal di kawasan warisan, mungkin di negeri lain juga ada aktiviti seperti itu menjelang malam yang membabitkan laluan menarik untuk dikunjungi orang ramai,” katanya.

Selain itu, aktiviti larian juga antara menarik perhatian kerana terdapat banyak lokasi sesuai yang menjadi tumpuan untuk meninjau keindahan malam.

Di kawasan bandar, larian pada waktu malam sangat sesuai dilakukan di kawasan taman atau kediaman yang selamat untuk aktiviti itu.

Paling popular, sudah pasti Taman KLCC yang sentiasa menjadi tumpuan warga kota untuk melakukan aktiviti berkenaan kerana selain selamat, terdapat juga pelbagai bentuk trek disediakan.

Tidak ketinggalan bagi si pelari denai pula, terdapat pelbagai kawasan denai atau bukit yang sering mendapat perhatian peminat untuk mengunjunginya ketika malam terutama lokasi berhampiran kawasan bandar.

Pengalaman penulis sendiri menyertai pendakian di beberapa bukit popular berhampiran Kuala Lumpur ternyata sentiasa meriah dengan kehadiran pendaki selepas waktu berbuka puasa.

Malah, ada juga antara mereka yang bukan sekadar mendaki malah melakukan amalan lain seperti solat sunat dan mengadakan tazkirah dalam kalangan pendaki di puncak bukit. Menarik bukan?

Mengulas berkenaan lokasi tarikan pelancong di kawasan rekreasi, Zain berkata, sememangnya banyak kawasan bukit selamat untuk dikunjungi pelancong yang ingin mendaki pada waktu malam.

Bagaimanapun, katanya, aspek keselamatan perlu diberi perhatian terutama jika mendaki secara berkumpulan dan mendapatkan khidmat penunjuk arah bagi memastikan risiko kemalangan atau hilang dapat dielakkan.

“Biasanya ada pihak berkuasa yang memantau dan mengawal selia lokasi tumpuan ramai. Namun, masyarakat juga perlu mengambil tahu mengenai tanggungjawab mereka ketika melakukan aktiviti rekreasi pada waktu malam.

“Paling penting, utamakan keselamatan diri dan sebaiknya lakukan secara berkumpulan kerana lebih selamat serta dapat mengurangkan risiko kemalangan. Tambahan pula, aktiviti riadah seperti mendaki jika dilakukan secara berkumpulan lebih seronok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 11:32 AM