PENGUNJUNG dipandu arah untuk pengalaman ‘pengembaraan’ menarik.
PENGUNJUNG dipandu arah untuk pengalaman ‘pengembaraan’ menarik.
Hafiz Ithnin


Di kelilingi taman rimba dalam bandar, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor bukan suatu nama yang asing dalam merancakkan pembangunan ekonomi negara.

Mungkin tidak ramai tahu bahawa dalam MAEPS wujudnya Agro Tourism Park yang berkeluasan 130 hektar dan menjadi antara pusat pelancongan agro yang boleh dikategorikan sebagai lengkap untuk dilawati dan merasai sendiri pengalaman sebagai pelancong agro.

MAEPS Agro Tourism Park terdiri daripada lapan laman pertanian (Herba, Sayur, Padi, Perikanan, Nanas, Ternakan, Jentera & Florikultur) yang menarik untuk anda kunjungi.

Pengunjung bukan saja dapat melihat keindahan taman rimba di dalam bandar malah turut berpeluang melakukan pelbagai aktiviti pertanian bersama pengusaha.

Memandangkan, taman ini begitu luas untuk diterokai, orang ramai tidak perlu risau untuk ‘mengembara’ di dalamnya kerana terdapat kemudahan tram yang disediakan dengan hanya perlu membayar RM45 seorang untuk membeli pakej lawatan ditawarkan.

Ketua Pegawai Operasinya, Norafizah Rahman berkata, laman pertanian dan ternakan itu turut menawarkan pelbagai aktiviti praktikal kepada pengunjung selain menimba ilmu dalam bidang berkenaan.

Tambahnya, lokasi itu baru memperkenalkan pelancongan agro sejak Disember 2017 memandangkan ia mempunyai potensi besar untuk menarik kehadiran pelancong tempatan dan asing.

PELBAGAI tanaman hijau yang dapat dilihat dan dipelajari pengunjung.
PELBAGAI tanaman hijau yang dapat dilihat dan dipelajari pengunjung.

“Kita sudah mempunyai platform iaitu kemudahan dari segi taman yang luas, restoran dan juga ruang aktiviti. Melihat kepada faktor ini, kerajaan mengenal pasti bahawa lokasi ini sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan agro terbesar di Malaysia.

“Apabila orang ramai datang ke sini, mereka dapat melihat kepelbagaian sektor pertanian dan perladangan yang terdapat di Malaysia. Malah, produk akhir yang dihasilkan di sini juga dijual kepada pengunjung untuk mereka merasai sendiri produk keluaran kita,” katanya.

Bagi yang gemarkan aktiviti berbasikal atau berjoging di dalam taman, destinasi itu juga sesuai untuk dilakukan aktiviti berkenaan yang mana mereka dapat melihat sendiri kegiatan pertanian dilakukan pengusaha sambil beriadah.

Menariknya aktiviti berbasikal atau berjoging di dalam taman itu pula tidak dikenakan sebarang caj atau yuran kemasukan.

Norafizah berkata, kemudahan penginapan juga disediakan dengan tawaran caj sewaan berpatutan. Penginapan berhadapan dengan tasik pula menjanjikan panorama yang menarik kepada pengunjung.

“Setakat ini, kami menerima maklum balas baik daripada orang ramai yang datang ke sini dan jumlah kemasukan pengunjung sejak dari Disember hingga April lalu, sekitar 3,000 orang.

“Daripada jumlah itu, terdapat juga pelancong asing yang datang ke sini seperti dari Jepun dan mereka memberi maklum balas yang baik terutama dari segi kepelbagaian sektor agro Malaysia yang boleh didapati dalam satu tempat,” katanya.

LADANG tanaman nanas yang menarik untuk dikunjungi.
LADANG tanaman nanas yang menarik untuk dikunjungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 11:49 AM