ISMAIL Sabri (kanan) bersama waki kedutaan ke Malaysia melihat demo membuat sabun daripada herba tempatan.
ISMAIL Sabri (kanan) bersama waki kedutaan ke Malaysia melihat demo membuat sabun daripada herba tempatan.
Oleh Nazarali Saeril

Serdang: Kemudahan sedia ada di Taman Ekspo Pertanian Malays ia Serdang (MAEPS) di sini, akan dipertingkatkan secara maksimum untuk aktiviti pelancongan melalui pelbagai penyediaan rumah negeri serta laman agro.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini, MAEPS dilengkapi tujuh taman agro dan bakal dilengkapkan dengan rumah negeri dalam masa terdekat.

“Dulu, MAEPS dibuka untuk dua minggu saja iaitu sekali bagi setiap dua tahun ketika berlangsung Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

“Banyak tarikan pelancongan menarik di MAEPS seperti Laman Sayur, Laman Herba dan Ladang Mini Kelulut boleh dimaksimumkan untuk menarik kehadiran pengunjung.

“Kami juga yakin, dengan siapnya rumah negeri, lebih ramai pelancong akan berkunjung ke sini,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan MAEPS Agrotourism Park di sini. Hadir sama wakil beberapa kedutaan asing.

Menurut Ismail Sabri, beliau sudah berbincang dengan setiap kerajaan negeri untuk membina rumah negeri masing-masing di MAEPS dan semua rumah berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya selepas Aidilfitri.

“Melalui rumah negeri yang dibuka setiap hari atau sekurang-kurangnya tiga hari seminggu iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, pelbagai promosi pelancongan di negeri berkaitan dapat dipersembahkan seperti kebudayaan juga makanan.

“Melaluinya, pelancong bukan saja dapat melawat rumah negeri untuk mengetahui keunikan destinasi pelancongan sesebuah negeri, malah turut dapat melawat laman agro,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, di MAEPS juga, pelancong boleh melihat kaedah tanaman padi selain bagaimana madu lebah diproses.

Ismail Sabri berkata, pihaknya berpendapat agro pelancongan berpotensi besar untuk menyumbang kepada pendapatan negara.

“Di China, ada agensi pelancongan menyediakan khidmat untuk pelancong dari sana tidur di dusun durian kita di sini. Pelancong berkenaan turut tinggal di pondok durian malah menunggu raja buah itu jatuh sebelum dikutip dan dimakan.

“Di MAEPS juga ada sedikit pokok durian dan mungkin kita boleh bina pondok untuk pelancong merasai sendiri pengalaman tinggal di situ,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga menyasarkan pelajar sekolah atau penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mengadakan aktiviti di MAEPS seperti kem musim panas atau yang bersesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 7:41 AM