HAMZAH (kiri) tekun mewarna.
HAMZAH (kiri) tekun mewarna.
AHMAD Musa al-Nuwayri (bersongkok) beramah mesra dengan murid Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia (CSM).
AHMAD Musa al-Nuwayri (bersongkok) beramah mesra dengan murid Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia (CSM).
DR Kamaruzaman (kiri) menandatangani plak perasmian Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia (CSM) di Bandar Seri Putra, Bangi, baru-baru ini.
DR Kamaruzaman (kiri) menandatangani plak perasmian Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia (CSM) di Bandar Seri Putra, Bangi, baru-baru ini.
ANTARA anak pelarian Syria yang bersekolah di Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia (CSM).
ANTARA anak pelarian Syria yang bersekolah di Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia (CSM).
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Dihantar pulang ke tanah air dan dilarang memasuki Jordan selama lima tahun saat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Usul Fiqh hanya berbaki satu semester, memberi tamparan hebat kepada anak muda ini.

Tidak dapat digambarkan betapa remuknya hati ketika berhadapan situasi berkenaan selain terpaksa melalui ‘mimpi ngeri’ dimasukkan ke penjara selama enam hari.

Hukuman dijatuhkan terhadapnya boleh dikatakan agak berat jika dibandingkan dengan ‘kesalahannya’ iaitu dikatakan membantu pelarian Syria di Jordan.

Pernah kecewa dengan ujian berat dilaluinya itu apabila mengenangkan nasib diri yang tidak sempat menamatkan pengajian dan membawa pulang segulung ijazah yang diidamkan.

Namun, terbukti nilai kemanusiaan yang ada di dalam dirinya mengatasi segala-galanya menyebabkan Ahmad Musa al-Nuwayri Kamaruzaman, 24, tetap terus aktif membela nasib pelarian itu sekembalinya di tanah air.

Lantas dia menubuhkan Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia (CSM) di Bandar Seri Putra, Bangi awal Februari ini.

Penubuhan pusat itu hasil usaha murni Ahmad Musa al-Nuwayri bersama 20 rakannya untuk membantu golongan terbabit yang berada di negara ini dan rata-rata mereka berusia lingkungan 24 tahun.

Semuanya bekas graduan Universiti Al Al Bayt Mafraq, Jordan dan rakannya pula adalah individu yang sama-sama melakukan aktiviti kemanusiaan bersama pelarian Syria di Jordan.

Penulis berkesempatan bertemu dengan anak muda hebat ini ketika perasmian Pusat Pendidikan Alternatif CSM yang disempurnakan Pensyarah Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia Profesor Dr Kamaruzaman Yusoff, baru-baru ini turut terinspirasi dengan semangat yang dimilikinya.

Ungkapan ‘kecil-kecil cili padi’ sangat tepat dengan anak muda berasal dari Johor Bahru ini kerana semangat dan sifat kemanusiaan luar biasanya.

Ahmad Musa al-Nuwayri berkata, Pusat Bimbingan Alternatif CSM itu adalah pusat pendidikan alternatif ketiga dibuka CSM selepas di Jordan dan Turki khas untuk anak Syria di negara ini.

Katanya, pusat itu beroperasi sepenuhnya pada 20 Februari lalu menempatkan 88 murid berusia antara lima hingga 12 tahun yang memberikan pendidikan secara percuma.

“Enam mata pelajaran diajar ialah Bahasa Inggeris, Arab, Sains, al-Quran, Agama Islam dan Matematik.

“Seramai enam guru dari Syria yang juga siswazah institusi pengajian tinggi di negara terbabit ditugaskan menjadi tenaga pengajar di pusat berkenaan,” katanya kepada Nuansa.

Sementara sukatan pelajaran pula mengikut sistem Cambrige International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bagi membolehkan murid melanjutkan pengajian di luar negara pada peringkat lebih tinggi.

“Ketika mula-mula berada di Jordan pada 2012, saya lihat ramai pelarian kanak-kanak Syria berniaga gula-gula getah dan meminta sedekah di persimpangan lampu isyarat.

“Semua masih kecil tapi terpaksa berbuat demikian demi mendapatkan wang untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Ahmad Musa al-Nuwayri berkata, dia berasa sangat sedih melihat keadaan itu kerana situasi berkenaan jauh berbeza di negara ini apabila kanak-kanak seusia mereka sibuk belajar di sekolah.

“Di situ saya lihat pendidikan adalah perkara penting bagi anak Syria untuk merubah nasib mereka menjadi lebih baik pada masa hadapan.

“Kami bermula dengan membuka sekolah pertama untuk pelarian Syria di Jordan pada Mei 2015 dan kemudian di Kilis, Turki (sempadan di antara Syria dan Turki) pada Disember tahun lalu,” katanya.

Katanya, ia disusuli pembukaan sekolah ketiga di sini (Pusat Bimbingan Alternatif CSM) yang menjurus kepada memperkasakan pelarian Syria untuk pendidikan secara holistik.

“Kami tidak mampu membantu untuk menghentikan peperangan yang berlaku di Syria sejak 2011 selain mengorbankan banyak nyawa.

“Namun, kami mengambil pendekatan (bantuan) menerusi pendidikan. Mereka ada tanggungjawab untuk belajar di sini dan kembali semula ke Syria untuk membangunkan negara asal mereka kelak,” katanya yang menyatakan hasrat meneruskan semula pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Berkongsi lanjut pengalaman menjadi ‘tahanan’ di Jordan, Ahmad Musa al-Nuwayri berkata, ia bermula apabila dipanggil pasukan cawangan khas pasukan keselamatan di Jordan pada awal tahun 2016.

“Saya disoal siasat selama lapan jam dan antara soalan ditanya ialah mengapa membantu pelarian Syria, apa bentuk bantuan diberikan dan bagaimana memperoleh dana bantuan?

“Kemudian, saya dipanggil untuk soal siasat kali kedua selama empat jam dan ditanyakan soalan sama,” katanya.

Katanya, selepas selesai disoal siasat, pasportnya dirampas dan diarahkan keluar dari Jordan dalam tempoh tujuh hari.

“Saya tidak ikut arahan itu memandangkan pengajian hanya berbaki satu bulan selain mahu menamatkan pengajian.

“Tempoh seminggu berlalu tanpa dihubungi pihak terbabit (pasukan cawangan khas). Sebaliknya sebulan kemudian, saya dihubungi pasukan cawangan khas dan diminta datang ke pejabat untuk mengambil semula pasport,” katanya.

Menurutnya, dia dibiarkan menunggu sendirian di ruang menunggu hingga ke petang. Apabila dipanggil, badannya dipalingkan menghadap dinding sementara mata ditutup dan tangannya pula digari.

“Saya ditarik masuk ke dalam trak polis untuk dibawa ke lokap kemudian ditahan dalam lokap selama enam hari lima malam selain dipindahkan ke tiga lokap lain termasuk bawah tanah.

“Sepanjang berada dalam lokap, saya berasa sangat tertekan, putus asa, kecewa dan tidak mahu lagi terbabit dengan aktiviti kemasyarakatan.

“Habis tempoh dalam lokap, saya dihantar pulang ke tanah air,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, semua perasaan itu hilang apabila melihat ibu bapanya yang menyambut ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, lebih menyentuh hati apabila mereka tidak memarahinya dan sebaliknya memberikan nasihat bahawa perjuangan yang terhenti di Jordan boleh diteruskan di negara ini termasuk menyambung pengajian.

Melihat kepada wajah Ahmad Musa al-Nuwayri yang sentiasa tersenyum pasti tidak menyangka dia mempunyai ‘kisah hitam’ yang tersimpan kemas dalam diari hidupnya dan kini menjadi pengalaman berharga.

Seorang murid, Hamzah Muhanad berusia enam tahun berkata, dia berhijrah ke negara ini sejak tiga tahun lalu disebabkan konflik di negara kelahirannya.

“Saya seronok belajar di sekolah ini kerana boleh berjumpa ramai rakan baru dan mempelajari ilmu baru.

“Saya bercita-cita menjadi tentera kerana mahu membebaskan negara daripada peperangan,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Kakaknya, Ruoh yang berusia lapan tahun pula berkata, dia gembira apabila berpeluang bersekolah di Pusat Bimbingan Alternatif CSM.

“Saya akan belajar bersungguh-sungguh bagi mengejar cita-cita menjadi guru.

“Malah mahu kongsikan semula ilmu yang saya miliki kepada rakyat Syria lain supaya mereka dapat menikmati kehidupan lebih baik,” katanya yang menetap di Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 12:21 PM