KAUM Mah Meri mempunyai kepercayaan dan tradisi tersendiri yang menarik untuk diketahui.
KAUM Mah Meri mempunyai kepercayaan dan tradisi tersendiri yang menarik untuk diketahui.
Suliati Asri


Keindahan alam semula jadi yang menghijau memukau mata memandang. Sejarahnya yang lebih 100 tahun juga ada cerita tersendiri yang menarik.

Itu belum lagi struktur muka buminya yang membolehkan pelbagai aktiviti ekstrem atau pengembaraan dilakukan. Komuniti tersembunyi dengan kehidupan mereka yang tersendiri juga menarik untuk diketahui pelancong.

Itulah antara yang menarik menanti di negeri paling maju di Malaysia, Selangor. Negeri dengan destinasi menarik yang menawarkan pelbagai tarikan dan keindahan tersembunyi yang harus diterokai.

Berikut beberapa lokasi di Selangor yang menarik untuk dikunjungi dan pastinya ada keunikan tersendiri.

Pulau Perkampungan di Port Klang

Dikelilingi air laut yang kaya dengan hasil dasar lautnya, Pulau Ketam menawarkan percutian hujung minggu yang popular untuk pengunjung.

Berkunjung ke perkampungan ini, anda berpeluang melihat sendiri keunikan kampung dengan rumah di atas air dan daratan, penternakan ikan dan makanan laut yang segar.

Kepelbagaian aktiviti termasuk memberi makan burung helang, merasai sendiri kesibukan aktiviti masyarakatnya serta menikmati suasana indah matahari terbenam di Pulau Ketam juga tidak mengecewakan.

Bercuti sambil melihat perkampungan nelayan yang asli, menaiki bot ke Kampung Sungai Lima dan pemandu pelancongnya adalah ketua kampung sendiri pasti memberikan pengalaman menarik untuk dikenang.

BUKIT Melawati menyimpan sejarah lebih 100 tahun yang menarik untuk diterokai.
BUKIT Melawati menyimpan sejarah lebih 100 tahun yang menarik untuk diterokai.

Bandar Diraja, bandar terpencil

Klang adalah salah satu bandar tertua di Malaysia sejak abad ke-15.

Untuk mengetahui cerita menarik dan keunikan yang terdapat di Bandar Diraja itu, mengikuti lawatan berjalan percuma yang diadakan setiap hari pasti mengujakan.

Inginkan lokasi menarik untuk berehat sambil menikmati keindahan dan melawat beberapa bandar yang kurang dikenali tidak mengecewakan. Batang Kali yang terkenal dengan mata air panas, bunga orkid, buah jambu dan mi loh pasti memberikan kedamaian buat anda.

Kira-kira 20 minit dari Batang Kali, bandar Kuala Kubu Bharu menyimpan cerita rakyat yang penuh misteri. Mandi-manda dan menikmati kehijauan alam semula jadi di Sungai Chiling juga cukup menyegarkan.

Keindahan alam semula jadi di Kuala Selangor

Kuala Selangor ada tarikan tersendiri. Di daerah itu, mercu tanda sejarah dan penempatan untuk monyet daun perak, Bukit Melawati menanti dengan keunikan tersendiri.

Dari puncak bukit itu, pemandangan indah yang disajikan juga tidak pernah mengecewakan.

Begitu juga saat menyaksikan panorama indah sawah padi di Sekinchan atau menghabiskan masa beriadah di Pantai Redang. Kemudian, pada waktu malam, pelancong berpeluang melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan yang bagaikan penutup kunjungan ke Kuala Selangor yang penuh dengan kenangan terindah.

PANORAMA indah sawah padi di Sekinchan.
PANORAMA indah sawah padi di Sekinchan.

Pengembaraan di Selangor

Bagi yang cintakan aktiviti ekstrem atau pengembaraan, Selangor nyata tidak mengecewakan. Memanjat 272 anak tangga ke kuil Gua Batu Caves pasti memberikan satu pengalaman yang unik.

Bukan hanya sekadar mendaki anak tangga, ia memberikan satu pengalaman yang berbeza dengan dinding batu kapur yang mempesona.

Penggemar aktiviti lasak juga boleh memilih untuk melakukan Paragliding di Bukit Jugra atau berakit dengan rakan-rakan di sepanjang Sungai Selangor.

Berbasikal di Selangor juga pastinya menarik dengan pelbagai program yang dijalankan termasuk menyertai lawatan berbasikal ke paya bakau dan kampung yang mendamaikan di Kampung Sungai Janggut.

BERBASIKAL di kampung yang permai memberikan kedamaian buat si pengayuh.
BERBASIKAL di kampung yang permai memberikan kedamaian buat si pengayuh.

Komuniti tersembunyi

Mah Meri adalah suku Orang Asli dengan kepercayaan dan tradisi mereka tersendiri. Mengunjungi suku Orang Asli ini, anda boleh mengambil bahagian dalam bengkel interaktif di Kampung Budaya di Pulau Carey atau di Pantai Jengkok.

Keunikan dan kehalusan kerja seni serta kehidupan mereka yang unik pasti memberikan satu pengalaman mengujakan.

Selain Orang Asli ini, anda juga berpeluang berjumpa dan sama-sama melihat kehidupan masyarakat kusta yang hampir dilupakan. Lembah Harapan di Sungai Buloh membawa pengunjung sama-sama mendengar kisah hidup mereka selain melihat sendiri kehidupan komuniti tersembunyi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 12:12 PM