PENGUNJUNG berpeluang melihat dengan lebih dekat wau bercahaya sebelum pertandingan dimulakan.
PENGUNJUNG berpeluang melihat dengan lebih dekat wau bercahaya sebelum pertandingan dimulakan.
PENGUNJUNG berpeluang merakam keunikan layang-layang bercahaya yang diterbangkan di udara.
PENGUNJUNG berpeluang merakam keunikan layang-layang bercahaya yang diterbangkan di udara.
LAYANG-LAYANG yang dihiasi lampu LED berwarna-warni dengan corak dan tulisan sedia diterbangkan.
LAYANG-LAYANG yang dihiasi lampu LED berwarna-warni dengan corak dan tulisan sedia diterbangkan.
PENGUNJUNG berpeluang melihat dengan lebih dekat wau bercahaya sebelum pertandingan dimulakan.
PENGUNJUNG berpeluang melihat dengan lebih dekat wau bercahaya sebelum pertandingan dimulakan.
Mohamad Zulhairie Manzaidi

Suatu ketika dahulu, wau sekadar permainan tradisional orang Melayu yang dimainkan selepas musim menuai padi. Ketika angin petang sederhana kencang, sangat sesuai untuk menaikkan wau megah berkibar di angkasa.

Sekitar 30 ke 50 tahun kemudian, ia menjadi hiburan anak muda seiring permainan tradisional lain seperti congkak, batu seremban dan sebagainya. Ketika itu pengetahuan terhadap permainan moden masih berkurangan.

Wau kemudian diangkat imejnya sebagai identiti Malaysia jelasnya pada badan kapal terbang syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines.

Tahun ini, Kelantan selaku negeri lahirnya wau bulan terus mengiktirafnya menerusi Pesta Wau Antarabangsa yang sudah memasuki siri ke-34 yang berlangsung dari 2 Jun hingga 4 Jun lalu.

Seiring peredaran zaman, pesta itu diperincikan dengan pelbagai pembaharuan terhadap jenis wau selain pengekalan wau tradisional.

Ia termasuk wau berhias lampu Diod Pemancar Cahaya (LED) yang mula diperkenalkan pada 2012 di bawah jenama Wau Bercahaya.

Wau gergasi bercahaya ini akan dinaikkan pada sebelah malam untuk menerangi kegelapan dan menjadi acara paling dinantikan pengunjung setiap kali dianjurkan di Pantai Geting, Tumpat.

Kesungguhan kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Kelantan menjenamakan Wau Bercahaya, ia kini bukan hanya diminati rakyat tempatan, malah pelancong luar negara kerana tertarik keunikan dipersembahkan.

Berikutan itu, penganjur sekali lagi menambah baik program dengan menjadikan Wau Bercahaya sebagai sebahagian acara untuk dipertandingkan pada 2013, malah sambutan diterima sangat menggalakkan.

Bagi tahun ini, sebanyak 31 penyertaan dengan enam daripadanya dari luar negara seperti China, Australia, Jerman, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menerima 10 penyertaan, kategori terbuka (11 penyertaan) dan antarabangsa (10 penyertaan).

Pengarah MOTAC Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud mengakui jumlah peserta berkurangan berbanding tahun lalu yang menerima 36 penyertaan.

Namun katanya, pelbagai faktor mendorong pengurangan itu termasuk tempoh berlangsung pesta yang berkurangan kepada tiga hari berbanding kebiasaannya lima hari.

“Begitupun, tahun ini, kami lebih mengutamakan kualiti berbanding kuantiti dan saya rasa usaha itu berjaya kerana walaupun jumlah penyertaan tidak banyak, suasana pertandingan itu lebih meriah dengan sorakan pengunjung.

“Kita terima banyak maklum balas peserta negara luar yang mahu menyertai pertandingan ini, tetapi terpaksa membatalkannya kerana masalah untuk memasuki negara ini pada saat akhir,” katanya.

Beliau berkata, dari segi pemarkahan, pihaknya menetapkan beberapa kriteria penting iaitu kerlipan lampu, corak dan kreativiti perserta dalam menghias wau bercahaya, penggunaan lampu dan reka bentuk.

“Pengadil pula pakar wau tempatan dan luar negara supaya tidak timbul isu tidak puas hati dalam kalangan peserta bertanding,” katanya.

Peserta dari Kelantan, Nik Faizu Mohd Daud, 31, berkata, penyertaannya kali ini yang kedua selepas tahun lalu mewakili Majlis Daerah Machang (MDM).

Katanya, jika tahun lalu pihaknya menampilkan wau puyuh dengan hiasan lampu LED yang sarat dan berbentuk bunga, kali ini mereka mempertaruhkan wau bulan.

“Saya dan rakan, Mohd Razi Mohd Said, 44, mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan wau bulan sepanjang 20 meter ini dan kali ini kami lebih mengutamakan kualiti pembuatannya.

“Untuk itu, kami mengimport lima jenis kanvas berkualiti tinggi dari Taiwan untuk menutup kerangka wau, manakala corak dan bunga di atas badan wau ini kami gunakan teknik sulaman supaya corak yang terpapar lebih timbul dan menarik,” katanya.

Mohd Razi pula berkata, proses menyiapkan wau bulan lebih rumit berbanding wau lain, apatah lagi perlu menambah lampu LED di seluruh badan wau itu.

Namun, demi membawa imej Kelantan, katanya, kumpulannya menyahut saranan pengurusan MDM dan cuba memartabatkan wau bulan.

Selain Pertandingan Wau Bercahaya, penganjur mempertandingkan 18 acara lain termasuk Pertandingan Wau Bulan Naik Kebangsaan, Wau Kucing, Wau Jala Budi, Wau Puyoh, Wau Daun, Wau Puyuh Sobek, Layang-layang Rokkaku Lima Kaki, dan Wau Bercahaya.

Pesta itu juga menyaksikan Kelantan munjul juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut apabila memenangi lima daripada lapan kategori kebangsaan yang dipertandingkan.

Jumlah keseluruhan peserta terbabit sepanjang tiga hari pesta itu adalah 285 orang termasuk 31 peserta antarabangsa membabitkan 13 negara iaitu Amerika Syarikat, Sweden, Ukraine, Kemboja dan Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 11:34 AM