Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: “Mungkin pada masa akan datang mereka itu berpeluang untuk membuka firma sendiri dan itu satu langkah yang perlu dijadikan teladan oleh seluruh masyarakat,” kata Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Saiful Hazizi Zainal Abidin.

mengulas mengenai pekerjaan penghantar cepat persendirian atau ‘runner’ yang semakin menjadi ikutan dalam kalangan golongan muda di seluruh negara.

Perkembangan ‘runner’ semakin mendapat perhatian hari ini kerana mereka bukan sekadar menghantar barang, malah menunaikan apa saja permintaan pelanggan termasuk membelikan makanan, menghantar bunga, hadiah dan kek untuk yang tersayang, mengeluarkan wang di dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan membuang sampah.

Lebih menarik, ada ‘runner’ yang menetapkan kadar bayaran mengikut keikhlasan.

Menurutnya, ramai anak muda menjadi 'runner' mungkin disebabkan kesempitan hidup berikutan keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

"Lagi banyak mereka melakukan perkhidmatan penghantaran semakin tinggi keuntungan yang diperoleh.

"Terpulang kepada inisiatif dan kreativiti masing-masing. Mereka ini berjiwa besar demi memastikan mendapat kehidupan yang baik," katanya ketika ditemui Harian Metro, petang tadi.

Katanya, pihaknya akan membantu menyediakan dana kepada mereka.

Bagi Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim, golongan muda kini lebih berdikari dan menggunakan waktu yang ada dengan sebaiknya untuk menambah pendapatan dan berdaya saing.

"Mereka tidak hanya menumpu kepada keuntungan sebaliknya kebajikan serta mendekatkan diri dengan masyarakat, " katanya.

Beliau berkata, pemuda hari ini lebih ilmiah, suka mencuba sesuatu yang baru ke arah masa depan yang lebih baik.

"Saya lihat Exco Pemuda UMNO dan Biro Pekerja Muda juga banyak mendekati golongan muda selain turut membantu aspek yang diperlukan.

"Pihak kami memandang serius usaha 'runner' ini dan akan memastikan mereka terbela selain membantu dengan apa jua kaedah yang sesuai.

"Ia seperti mendaftar dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 5:13 PM