Muhammad Waliuddin menunjukkan donat yang dijualnya. FOTO Mior Azlan
Muhammad Waliuddin menunjukkan donat yang dijualnya. FOTO Mior Azlan
Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Usaha akan dilakukan supaya lebih ramai peniaga muda dapat mencontohi apa dilakukan mualaf, Muhammad Waliuddin Chua, 24, yang membuktikan boleh menjual donat dengan harga serendah 10 sen.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya akan mencari jalan membantu peniaga muda seperti itu supaya rakyat dapat menikmati harga murah.

“Kita akan bekerjasama dengan media terutama Harian Metro berhubung isu seperti ini pada masa akan datang.

"Ia bertujuan membantu peniaga muda seperti itu," katanya ketika melawat Laman Media di Aras 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015, petang tadi.

Khairy berkata, Muhammad Waliuddin membuktikan kesungguhannya dalam bidang perniagaan.

"Saya lihat dia (Muhammad Waliuddin) seorang anak muda yang sangat bersungguh-sungguh.

"Saya dimaklumkan pemuda itu turut menggunakan produk dibeli di Kedai Rakyat 1Malaysia dan itu antara inisiatif terbaik untuk mengurangkan kos,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Waliuddin mendapat perhatian ramai apabila membuka perniagaan menjual donat dengan harga hanya 10 sen sebiji.

Apa yang dilakukannya ‘viral’ di laman Facebook sehingga permintaan terhadap donat yang dijual di hadapan rumahnya di Flat Maluri berdekatan Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Cheras itu semakin meningkat dan ramai yang memuji usahanya menjual donat dengan harga paling murah.

Menurut Muhammad Waliuddin, dia berbuat demikian kerana amal jariah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 9:54 PM