Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Ramai wanita muda kini mudah percaya dengan media sosial tanpa mendapatkan kesahihannya terlebih dulu sehingga terdedah kepada anasir negatif.

Penolong Setiausaha Puteri UMNO Bentong, Pahang, Wan Hazirah Wan Razali, 29, berkata, disebabkan terlalu taksub dan mempercayai media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter, tanpa disedari ia boleh mengundang bahaya dan fitnah terhadap seseorang.

"Saya melihat, golongan wanita muda kerap memuat naik gambar dan mendedahkan lokasi di mana mereka berada di media sosial.

"Mereka tidak sedar tindakan itu sebenarnya boleh mengundang bahaya kerana menerusi senarai rakan yang ada dalam media sosial mereka, tidak semuanya dikenali.

"Mereka juga kerap memuat naik gambar yang tidak sepatutnya antaranya berpakaian seksi. Perkara itu boleh menyebabkan jenayah seksual," katanya ketika di temui di Laman Media, Aras 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi.

Katanya, media sosial juga medium yang sering disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita tidak benar.

"Golongan wanita muda misalnya mudah percaya tanpa mendapatkan bukti mengenai sesuatu laporan menerusi media sosial itu, " katanya.

Sehubungan itu kerajaan perlu memandang serius dan mengenakan tindakan tegas kepada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah dan menyalahgunakan media sosial.

"Saya bersama ahli Puteri UMNO lain di Bentong juga sering mengadakan kempen kesedaran berhubung bahayanya penyalahgunaan media sosial dalam kalangan wanita muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 9:01 PM
Wan Hazirah sifatkan media sosial boleh mengundang bahaya dan fitnah terhadap seseorang.
Wan Hazirah sifatkan media sosial boleh mengundang bahaya dan fitnah terhadap seseorang.