LUKISAN bertajuk ‘Life’ dihasilkan Wong Twing Twing menggunakan medium cat minyak.
LUKISAN bertajuk ‘Life’ dihasilkan Wong Twing Twing menggunakan medium cat minyak.
KARYA Vijay Pragash diberi nama ‘Refreshment’.
KARYA Vijay Pragash diberi nama ‘Refreshment’.
MUSTAFA bersama karyanya bertajuk ‘Sungai Tekala’.
MUSTAFA bersama karyanya bertajuk ‘Sungai Tekala’.
MOHD Nizam bersama lukisannya.
MOHD Nizam bersama lukisannya.
BARISAN pelukis yang menyertai pameran.
BARISAN pelukis yang menyertai pameran.

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Buat pertama kalinya karya ahli Kelab Seni Lukis Hulu Langat (KSLHL) dipamerkan di luar kelab berkenaan bagi mendekatkan karya dihasilkan dengan peminat seni tempatan, selain memberi pendedahan kepada pelukis.

Presiden KSLHL Mustafa Yahya berkata, kelab yang sentiasa mendukung bakat pelukis luar bandar itu mendapat perhatian kerana bakat mereka setanding dengan penggiat seni tempatan.

“Kelab ini sentiasa menyokong dan mengetengahkan bakat pelukis luar bandar kerana karya seni yang mereka hasilkan tidak kurang hebatnya.

“Pameran yang diadakan di Galeri NSTP ini menjadi batu loncatan untuk kerja seni mereka dikenali penggemar seni tempatan,” katanya.

Seramai 10 pelukis KSLHL yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan umur menyertai Pameran Ekspresi 2015 yang diadakan sehingga 31 Disember ini.

Selain Mustafa, pelukis daripada KSLHL yang turut menyertai pameran itu ialah Mohd Nazri Udin, Amat Sain Tunggak, George Daniel, Nasrul Hisham Jamaludin, Mohd Nizam Radzaly, Rusli Khalid, Vijay Pragash, Wan Hairuddin Wan Yaacob dan Wong Twing Twing.

Pameran bertemakan ‘Indahnya Ekspresi’ mempamerkan lukisan yang menampilkan ‘ekspresi’ pelukis terhadap flora dan fauna.

“Untuk mengekspresi ilham seni tidak semudah berfikir atau berimaginasi. Justeru, kami akan mendaki gunung atau meredah hutan untuk menikmati dan menghayati alam semula jadi bagi membantu pelukis melalui proses ekspresi sebenar,” katanya.

Sebanyak 60 karya dipamerkan pada pameran itu menggunakan beberapa medium berbeza seperti akrilik, cat air, cat minyak dan pensel.

Pameran dibuka kepada orang ramai dan karya juga dijual dengan harga dari RM750 hingga RM10,000.

INFO

EKSPRESI 2015

- Jumlah artis: 10

- Jumlah karya: 60

- Lokasi: Lobi Utama NSTP, Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur

- Tarikh: Sehingga 31 Disember 2015

- Masa: 9 pagi hingga 6 petang

- Telefon: 03-20569852

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 12:13 PM