Kuala Lumpur: “You can forgive, but you can never forget (anda boleh maafkan, tapi anda mungkin tidak boleh melupakan).

“Tapi tak lupa tidak mengapa asalkan ia tidak menjejaskan parti. (Sebaik-
baiknya) teruslah berjuang untuk parti kerana hidup ini lebih daripada itu,” kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika ditanya kemungkinan wujud situasi memaafkan dan melupakan bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti.

Menurutnya, ahli UMNO perlu tetapkan kedudukan Islam dan orang Melayu, hendak lihat masalah miskin bandar serta jurang bandar dengan luar bandar dapat ditangani.

“Paling penting, kita hendak lihat imej Islam di kaca mata dunia,” katanya.

Katanya, terlalu banyak perkara dan isu penting yang hendak difikirkan ahli parti dan kerajaan ketika ini.

“UMNO boleh kembali seperti biasa (situasi) jika semua pihak meletakkan parti sebagai keutamaan. Ini realiti yang perlu diterima untuk ahli parti terus bersatu, memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Hari ini, kita dengar apa yang Datuk Seri Najib cakap (meletakkan kepentingan parti lebih tinggi).

“Sebab itu saya boleh duduk dengan Shafie (Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) tanpa sebarang masalah dan Muhyiddin (Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin) boleh datang bertemu khalayak walaupun mungkin secara peribadinya beliau marah.

“Realitinya parti itu lebih penting, malah ketika Datuk Onn Jaafar keluar dari UMNO dulu pun, beliau tidak suruh porak-perandakan parti... beliau berpesan supaya menjaga parti baik-baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat ‘booth’ Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Laman Media di PWTC, di sini, semalam.

Hishammuddin meluangkan masa 15 minit duduk bersama Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) Datuk Seri FD Iskandar, Pengarah Urusan Kumpulan MPB Datuk Seri Amrin Awaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Mohamad Azlan Abdullah, Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar, Pengarang Kumpulan BH Datuk Mahfar Ali dan Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Ahmad Salim Bachok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 10:23 AM