AB Rauf  (kiri)  melihat pameran di  Galeri Prima NSTP selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71 bersama Media Prima di Balai Berita NSTP.
AB Rauf (kiri) melihat pameran di Galeri Prima NSTP selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71 bersama Media Prima di Balai Berita NSTP.
Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Lebih 25,000 orang mendaftar bagi menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah bernilai RM1 juta sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 setakat ini.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ahli UMNO yang turut berdaftar sebagai pengundi berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan tujuh kereta nasional dan 10 motosikal sehingga tempoh pendaftaran menerusi aplikasi Malaysia4All yang berakhir 10 Mei ini.

“Hadiah ini diberikan kepada UMNO sempena ulang tahun parti dan kami menerima sumbangan ini, tetapi dipanjangkan kepada pendukung serta penyokong setia parti.

“Bagaimanapun, mereka yang layak memenangi cabutan bertuah perlu menjadi ahli UMNO dan berdaftar sebagai pemilih serta perlu hadir di Stadium Bukit Jalil pada hari sambutan ulang tahun parti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 bersama pengurusan kanan Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MPB Datuk Seri Amrin Awaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen MPB Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah, Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mahfar Ali, Pengarang Kumpulan New Straits Times Yushaimi Maulud Yahaya dan Penulis Khas Kanan Harian Metro Tuan Mohd Asri Tuan Hussein.

Ab Rauf berkata, mesyuarat membincangkan persediaan terakhir sambutan ulang tahun parti itu bersama pengurusan kanan MPB selaku penyiar rasmi termasuk kaedah bagi melicinkan perjalanan program menjelang 11 Mei ini.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda UMNO juga turut menganjurkan karnival kerjaya yang menawarkan lebih 7,500 peluang pekerjaan pada 10 dan 11 Mei ini serta orang ramai yang berminat boleh terus menghadiri temu duga disediakan pihak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 4:55 AM